KUALA LUMPUR – ARMADA Bersatu Malaysia menyindir pendirian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa berubah daripada seorang pengkritik tegar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada individu yang kini lantang memperjuangkan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid menyifatkan perubahan pendirian Wan Fayhsal itu sebagai sesuatu yang penuh ironi, malah mengibaratkannya seperti bendera yang berubah mengikut arah angin politik semasa.
Menurut beliau, desakan Wan Fayhsal supaya kerajaan memberikan penjelasan telus berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib perlu dilihat dalam konteks pendirian dan perjuangan politiknya sebelum ini.
“ARMADA melihat satu ironi yang amat besar apabila YB Wan Ahmad Fayhsal kini seolah-olah berubah arah daripada seorang pengkritik tegar 1MDB kepada seorang juara tahanan rumah buat Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Harris berkata, generasi muda masih mengingati rekod penulisan Wan Fayhsal yang suatu ketika dahulu begitu lantang mengkritik skandal 1MDB menerusi media sosial dan portal analisis.
Menurutnya, Wan Fayhsal pernah menghasilkan pelbagai kupasan yang menyentuh struktur hutang 1MDB, penerbitan bon Goldman Sachs serta penggunaan syarikat cengkerang (*shell companies*) dalam penyelewengan dana awam.
Katanya, penulisan berkenaan memperlihatkan idealisme seorang anak muda yang tegas menentang rasuah dan salah guna kuasa, sesuatu yang tidak seharusnya dikompromikan hanya kerana perubahan percaturan politik.
“Kupasan-kupasan bertulis beliau yang secara khusus membongkar struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs, dan peranan syarikat cengkerang untuk menyeleweng dana rakyat adalah manifestasi idealisme anak muda yang tidak sepatutnya dicairkan, diubah hala, atau dikompromikan hari ini demi sebarang perkiraan politik jangka pendek,” katanya.
Sehubungan itu, Harris mengingatkan Wan Fayhsal supaya tidak menjadi lebih lantang daripada UMNO sendiri dalam memperjuangkan isu yang melibatkan Najib.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan politik generasi muda seharusnya kekal berteraskan prinsip menolak rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan dana rakyat tanpa mengira kedudukan atau pengaruh seseorang pemimpin.
“Oleh itu, kami ingin memperingatkan YB Wan Ahmad Fayhsal agar tidak bertindak lebih sudu daripada kuah atau menjadi lebih cenderung daripada UMNO sendiri dalam memperjuangkan agenda melibatkan figura yang terkait dengan krisis integriti terbesar negara,” katanya.
Bagaimanapun, Harris menjelaskan bahawa kritikan ARMADA terhadap Wan Fayhsal tidak bermaksud sayap parti itu mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan pengampunan hendaklah dihormati dan dilaksanakan berdasarkan prosedur serta peruntukan undang-undang yang sah.
“ARMADA menegaskan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan haruslah sentiasa dihormati dan dilaksanakan mengikut ketetapan prosedur yang sah.
“Kritikan dan pembuktian ketidakkonsistenan terhadap YB Wan Fayhsal sama sekali tidak mempertikaikan kuasa mutlak institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya kekal menjunjung tinggi kedaulatan Perlembagaan serta institusi beraja negara,” katanya.
Kenyataan ARMADA itu menyusul selepas Wan Fayhsal dilaporkan mendesak kerajaan memberikan penjelasan berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib, susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 6 November lalu.
Isu tersebut mencetuskan perdebatan mengenai pelaksanaan keputusan pengampunan, kedudukan perintah mahkamah serta bidang kuasa pihak berkuasa dalam menentukan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.



