Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Keunikan teater dua monodrama ‘Sang Badut’ dan ‘Rupawan’ yang dipentaskan di Auditorium Jabatan Kesenian Kebudayaan Negara (JKKN) Kedah pada 30 dan 31 Oktober lalu membuatkannya mampu menambat hati penonton muda terutamanya remaja sekolah dan universiti kerana formatnya yang intim, kontemporari, serta memberikan ruang ekspresi yang mendalam.
Meskipun dipentaskan selama dua hari, khalayak dari Perak, Pulau Pinang dan sekitar Kedah sanggup datang menonton dua monodrama ini pada malam itu, walaupun dengan dikenakan harga tiket, namun berasa berbaloi dengan naskah menarik itu sangat berbaloi untuk disajikan kepada penonton.
‘Rupawan’ lakonan Schya Syukor dan ‘Sang Badut’ lakonan Ajay yang mempamerkan penghayatan watak yang mendalam, kebolehan improvisasi secara spontan mempunyai lontaran suara, ekspresi wajah, dan pergerakan fizikal yang cukup kuat memenuhi ruang pentas berjaya menarik perhatian serta memukau penonton.
Skrip monodrama ini ditulis dan diarah oleh Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S) dengan mengangkat tema kemanusian dan kasih sayang dijalinkan dengan plot yang begitu menarik dan menyentuh emosi penonton.
Beliau yang juga Munsyi Dewan Sastera berkata, tujuan mementaskan monodrama ini kerana ingin memberi pendedahan kepada peminat teater. Pementasan monodrama begini jarang dipentaskan yang didefinisikan sebagai drama yang dimainkan atau dilakonkan oleh seorang aktor atau pelakon.
“Tambahan pula monodrama mempunyai peminatnya tersendiri dan mereka yang mementingkan naskhah berkualiti, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan seumpama itu, ”katanya.
Katanya lagi, monodrama bukan sekadar sebuah persembahan pentas, malah ia bertindak sebagai cermin diri yang dekat dengan jiwa orang muda.
Kehadiran Kelab Teater Warna Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok; Kelab Layar Puteri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bayihah, Alor Setar; Persatuan Deklamasi Lakon Perak (Pedelpk); dan pelajar Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (School of Languages, Civilisation and Philosophy – SLCP) UUM cukup memberi makna kepada segala usaha memartabatkan teater
Antara barisan tenaga kerja produksi dalam menjayakan pementasan ini, Penolong Pengarah (Saiful Amir); Penyanyi Latar (Aera/ Awie); Pengurus Produksi (Mama Tuah); Pengurus Pentas (Khai Azwardy); Pembantu Pentas (Abd Rahman/ Sam); Kostum (Mama Don); Makeu up (Mama Eta); Set (Bob Zafarani); Penata Cahaya (Ameerul); Penata Audio (Wan Puteri); dan Front Of the House – FOH (Qiss, Neely & Dhiya).
Teater dua monodrama ‘Sang Badut’ dan ‘Rupawan’ diterbitkan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama JKKN Kedah. – SUARA.TV



