Pernah wakili KKM dalam pemilihan angkasawan, urus krisis Lahad Datu, Covid-19, Dr Asmah kini calon BERSATU

MELAKA — Daripada terlibat dalam program pemilihan angkasawan negara, berdepan situasi mencemaskan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, hinggalah memainkan peranan penting dalam pengurusan krisis pandemik COVID-19, pengalaman itu mewarnai perjalanan kerjaya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datin Seri Dr Asmah Samat.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang kesihatan awam, Dr Asmah berpeluang menggalas pelbagai tanggungjawab besar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk tugasan yang memerlukan penyelarasan antara agensi serta pengurusan dalam situasi luar jangka.

Pengalaman tersebut bukan sekadar menguji kepakaran profesionalnya, malah turut menuntut ketahanan diri, keberanian dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi yang mencabar.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam program pemilihan angkasawan negara kira-kira 20 tahun lalu, Dr Asmah berkata, beliau diberi kepercayaan mewakili KKM bagi menyelaras urusan program berkenaan bersama beberapa agensi berkaitan.

Beliau menyifatkan peluang itu sebagai satu pengalaman istimewa memandangkan program seumpama itu bukan sesuatu yang dilaksanakan setiap tahun.

“Saya merupakan salah seorang wakil daripada KKM yang terlibat dalam program pemilihan angkasawan.

“Ketua saya memberikan tugasan itu kepada saya untuk menguruskan dan bekerjasama dengan MOSTI, Prof. Dr. Mazlan serta Angkatan Tentera,” katanya dalam temu bual khas bersama Suara.TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Namun, antara pengalaman paling mencabar yang masih diingatinya ialah ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, yang mengorbankan anggota keselamatan dan penduduk tempatan.

Ketika itu, beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan KKM dengan tanggungjawab memastikan operasi hospital di kawasan terjejas berjalan lancar.

Katanya, beliau perlu turun ke lapangan bagi memantau keselamatan hospital di Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Kunak, termasuk memastikan pesakit serta petugas kesihatan berada dalam keadaan selamat.

Mengakui berdepan perasaan takut sepanjang menjalankan tugasan itu, beliau berkata, pergerakannya ketika itu turut diiringi anggota tentera berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu.

“Memang takut. Jalan-jalan pun takut. Ketika itu anggota tentera mengiringi saya dan saya tidak boleh bergerak sendiri.

“Saya pergi untuk memastikan hospital yang berada di bawah jagaan saya selamat, termasuk bekalan air, keselamatan pesakit dan petugas kesihatan,” katanya.

Menurutnya, keadaan ketika itu turut mencabar apabila sebahagian petugas kesihatan tidak dapat pulang ke rumah, manakala kawasan hospital dipenuhi penduduk setempat yang turut terkesan dengan insiden berkenaan.

Tanggungjawab memastikan hospital terus beroperasi dengan selamat menjadi keutamaan bagi mengelakkan pesakit dan petugas kesihatan terdedah kepada sebarang ancaman.

Pengalaman mengendalikan situasi krisis itu sekali lagi diuji apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

Dr Asmah berkata, beliau diberi tanggungjawab sebagai Deputy Incident Manager dalam struktur pengurusan krisis COVID-19 di KKM.

Dalam kapasiti itu, beliau bertanggungjawab menyelaras pelbagai aspek operasi kesihatan sebelum laporan dan perkembangan berkaitan dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi.

Antara skop tugasnya termasuk memastikan kapasiti makmal, ketersediaan katil hospital, bekalan peralatan perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan, sistem teknologi digital serta jaringan kerjasama dengan agensi luar berada pada tahap diperlukan.

Malah, beliau turut terlibat dalam pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung keperluan pesakit ketika pandemik memuncak.

“Semua laporan perlu disalurkan kepada saya terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi. Saya juga akan memberikan nasihat kepada ketua berdasarkan keperluan operasi ketika itu.

“Antara perkara yang saya uruskan ialah makmal, katil hospital, PPE, ubat-ubatan, teknologi digital serta jaringan dengan agensi luar. PKRC yang dibuka ketika itu juga antara perkara yang saya terlibat,” katanya.

Bagi Dr Asmah, pengalaman mengendalikan pelbagai tugasan besar sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam itu menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya yang tidak mungkin dilupakan.

Daripada penyelarasan program pemilihan angkasawan negara hinggalah berdepan krisis keselamatan dan kesihatan awam, setiap pengalaman memberikan perspektif berbeza mengenai tanggungjawab terhadap masyarakat.

Kini, pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada latar belakang beliau ketika melangkah ke pentas politik dengan menawarkan diri sebagai calon BERSATU bagi DUN Pantai Kundor pada PRN Melaka Ke-16.

Untuk rekod, Datin Seri Dr. Asmah Samat merupakan muka baharu yang diketengahkan BERSATU pada PRN Melaka Ke-16 bagi mencabar kerusi DUN N.12 Pantai Kundor dalam persaingan dua penjuru menentang penyandang, Datuk Tuminah Kadi daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau merupakan graduan perubatan Universiti Malaya dan memiliki kelulusan Sarjana Kesihatan Awam, selain mempunyai pengalaman selama 33 tahun dalam bidang kesihatan awam.

Sepanjang perkhidmatannya dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Kanan Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan, sekali gus mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan dan pembangunan perkhidmatan kesihatan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat