KUALA LUMPUR — Seramai 100 pekerja Utusan Malaysia dan Kosmo hari ini menerima surat cuti berbayar (garden leave) yang akan berkuat kuasa mulai 10 November ini, sekali gus menimbulkan suasana pilu dalam kalangan warga kerja kedua-dua organisasi media berkenaan.
Perkembangan itu menyaksikan kakitangan yang selama ini menjadi sebahagian daripada operasi penerbitan kedua-dua akhbar berkenaan berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan kerjaya masing-masing.
Menurut sumber, suasana dalam kalangan warga kerja Utusan Malaysia dan Kosmo hari ini diselubungi kesedihan apabila sebahagian kakitangan tidak dapat menahan sebak selepas menerima surat berkenaan serta menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan kerjaya mereka.
Pelaksanaan cuti berbayar itu dipercayai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula Media Mulia Sdn Bhd yang turut memberi kesan kepada operasi penerbitan kumpulan berkenaan.
Perkembangan itu mengundang persoalan mengenai hala tuju seterusnya pekerja terbabit, termasuk status perkhidmatan dan jaminan kebajikan mereka selepas tempoh cuti berbayar bermula.
Nasib 100 pekerja itu turut mengimbau kembali episod penutupan operasi Kumpulan Utusan Melayu pada 2019 yang menyaksikan ratusan kakitangan kehilangan pekerjaan.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris sebelum ini mengesahkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar membabitkan hampir 100 kakitangan sebagai sebahagian daripada usaha merasionalisasi operasi syarikat.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan menilai semula keperluan operasi dan penggunaan sumber manusia bagi memberi tumpuan lebih besar kepada kandungan digital serta memastikan kemampanan perniagaan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan pekerja terbabit, khususnya kemungkinan penamatan perkhidmatan selepas tempoh cuti berbayar berakhir.



