KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Anwar menegaskan kes siasatan dan perbicaraan membabitkan Shuhaily tidak terkait dengan politik mahupun sebarang kontroversi.
“Memang benar AKPS itu baru ditubuhkan semasa Menteri Dalam Negeri yang ada sekarang (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan mengangkat nama yang disebutkan Shuhaily itu adalah cadangan kita.
“Kerana beliau itu sebelum ini dalam pentadbiran yang lalu telah dibuang dan diturunkan.
“Kita yang pulihkan dia kerana prestasi dia. Itu biar rekodnya betul. Saya ingat lagi saya bawa dia daripada Pulau Pinang ke KL kemudian angkat.
“Tindakan terhadap Shuhaily ini berdasarkan laporan polis. Jadi siasatan dilakukan. Kita kena ingat ya, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan ataupun tuduhan seseorang itu didera, dia mengikut proses.
“Pada 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang. Ya, apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara. Kerja mesti profesional. Tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses.
“Kalau tanya saya dari segi peribadi, saya ada simpati peribadi saya. Tetapi proses tu bila kalau ada dakwaan, sama ada dakwaan itu daripada orang ramai atau polis, bagaimana, itu soal siasatan. Janganlah minta saya atau Menteri Dalam Negeri campur sampai ke situ.
“Cuma sekarang ini kalau didapati oleh pihak pendakwa, Peguam Negara bahawa ada kes untuk didakwa, didakwa. Bila didakwa, proses ikut peraturan negara, itu harus ada.
“Seseorang didakwa, kalau penjawat awam itu terus diberi… dipindahkan ataupun dilepaskan daripada jawatan, adalah proses-proses dia yang Menteri Dalam Negeri lebih maklum.
“Tapi janganlah pula kita dianggapkan ini sebagai satu isu kontroversi ataupun politik, tak ada,” jelas Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Tambah Anwar lagi, simpati dan prestasi seseorang itu adalah dua perkara berbeza.
“Kalau tanya saya, saya kenal dan saya simpati dan saya tahu prestasi. Tetapi saya tidak boleh katakan oleh kerana Speaker ini orang baik, maka Speaker boleh tampar pegawai. Kalau Speaker tampar, saya tidak boleh jamin Speaker boleh diselamatkan mengikut proses hukum. Soal marah itu boleh lagi.
“Jadi ini saya nak tegaskan di sini, sebab ada cuba dikelirukan. Apakah, kita tahu pegawai-pegawai yang prestasinya baik. Tetapi kita juga ingatkan bahawa proses hukum itu harus diikuti. Dan kalau ada apa-apa laporan polis daripada siapa pun, mesti disiasat. Dan yang memutuskan untuk mendakwa atau tidak adalah Jabatan Peguam Negara,” jelas Anwar.
Perdana Menteri menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN- Arau) yang bertanya apakah, kenapakah kerajaan menukar Datuk Seri Shuhaily, orang yang dianggap
terbaik di Malaysia buat masa kini dan Menteri telah umumkan beliau telah akan dipindahkan balik ke polis.


