KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia tentunya di antara yang dianggap menjadi sasaran konflik geopolitik dan ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa yang dibimbangi mutakhir ini.
Menurut Anwar, ada dua perkara, pertama iaitu kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data di antara terkuat, kalau dalam angka terakhir umpamanya kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.
Manakala faktor kedua, kerana pendirian kita juga tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika Syarikat terutama soal Palestin dan Gaza.
“Tapi saya ingat saya akan kalau dipersetujui oleh ahli Parlimen, saya boleh minta Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberikan taklimat khas tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh 1-2 hari ini kalau dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperolehi petang semalam dan juga pagi tadi dari Menteri Dalam Negeri juga.
“Hal ini jangan kita pandang ringan. Jadi saya mohon kerjasama semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh 1-2 hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir.
“Saya ingin menegaskan bahawa bagi pihak kerajaan saban hari, semua agensi, menteri dan kementerian diminta terus menjalankan tanggungjawab, memastikan penyelarasan berkesan, dan badan-badan di bawah pengawasan mereka itu siap siaga, terutama pasukan keselamatan kerana dalam pertemuan itu saya juga mendapat jaminan dari Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.
“Mudah-mudahan Allah memelihara dan menyelamatkan negara Malaysia tercinta,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan mengambil maklum akan tindakan beberapa negara, seperti Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun yang mengeluarkan arahan dan nasihat kepada warganegara mereka supaya mempunyai stok barang makanan selama 3 sehingga 10 hari.
Jelasnya, ini disebabkan oleh keadaan antarabangsa tidak menentu, terutama berikutan serangan siber yang menyeluruh dan menggemparkan yang melanda seluruh infrastruktur digital Eropah dan dunia Barat termasuk sistem pentadbiran.
“Di Belgium, serangan siber memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasionalnya. Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir 9 juta orang.
“Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan suruhanjaya pilihan raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum penggundian Dewan Senat yang baru. Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas.
“Ini hanya sebahagian daripada rencana, kita masih memantau apakah perkembangan lain yang juga melibatkan persoalan ketegangan konflik Asia Barat, perkembangan Yaman dan Lautan Merah, ancaman keselamatan yang berlaku di Eropah yang menggambarkan bahawa krisis di luar negara boleh turut
menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara,” katanya.
Memperincikan perkara itu Anwar menyatakan, semalam kerjaaan mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti implikasinya, pertama serangan hibrid digital dan siber, dan kedua apakah benar ancaman dan serangan ke atas beberapa Negara Teluk khususnya Iran akan menjejaskan
penggunaan nuklear.
“Yang ketiga, apakah perkembangan politik Eropah itu akan menjejaskan sistem pentadbiran memberi kesan kepada kita. Jadi, yang penting perjumpaan semalam adalah membincang mekanisme yang sedia ada, penyerasan yang lebih rapi di antara kementerian dan agensi dan pasukan keselamatan, dan memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua jabatan yang berkenaan dan Gabenor Bank Negara (BNM) akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara.
“Ini juga kita belajar dari pengalaman dan pendekatan kesiapsiagaan Kesatuan Eropah, EU Preparedness Union Strategy untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman yang melibatkan seluruh jentera kerajaan dan swasta dan masyarakat umumnya.
“Tentunya kita dalam mesyuarat dan persiapan semalam menekankan beberapa langkah. Pertama, memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi.
“Kedua, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara. Dan saya dah bayangkan dalam sidang Parlimen ini bahawa, ini juga termasuk beberapa badan risikan luar negara, termasuk Israel beroperasi di negara-negara jiran dan perkampungan Israel di Phuket dan di selatan Thailand yang kemudian dilihat oleh badanbadan risikan kita sebagai potensi ancaman kepada negara.
“Ketiga, memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik negara. Ini termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan, bekalan makanan.
“Keempat, kesiapsiagaan rakyat dan masyarakat. Kita menedahkan kepada masyarakat, sebab itu, dinasihat oleh MKN semalam supaya saya keluarkan kenyataan hari ini. Supaya mengingatkan ahli-ahli berhormat dan rakyat umumnya bahawa jangan kita fikir ancaman ini ancaman yang jauh dari kita, kerana apa yang berlaku di Eropah dan di Amerika serta Jepun itu memang gempar, menggemparkan negara masing-masing.
“Kelima, memperkukuh keupayaan agensi dan penggunaan teknologi kerana di antara serangan, ini termasuklah serangan siber,” kata Perdana Menteri.


