Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) melangkah ke hadapan dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Strive Talent Empowerment Programme 2026 (STEP 2026).
STEP 2026 bertemakan ‘Emerging Technologies in Medical Electronics Industry’ merupakan program strategik yang berfungsi sebagai platform holistik dalam mendedahkan pelajar kepada perkembangan teknologi terkini dalam sektor elektronik perubatan, di samping memberikan kefahaman mendalam mengenai kompetensi, kemahiran, dan jangkaan sebenar pasaran kerja.
Inisiatif seperti STEP 2026 merupakan gerak kerja nyata di peringkat institusi yang menterjemahkan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) daripada peringkat dasar kepada bentuk tindakan, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Ekonomi, Hj. Che Rahim Daud.
Che Rahim berkata, dalam kerangka RMK13, negara menyasarkan pembentukan tenaga kerja tempatan yang adaptif, berdaya saing, serta bersedia menerajui industri berteraskan High Growth High Value (HGHV).
Menurut beliau, kerajaan beraspirasi memastikan setiap graduan TVET tempatan bukan sahaja ‘job-ready’, malah ‘future-ready’ hasil kerjasama strategik berterusan antara institusi pendidikan dan pemain industri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian STEP 2026 di PSA dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah PSA, A.Azman Arshad; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Anuar Hassan; Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti JPPKK, Dr. Asnizah Sahekhaini; Wakil Human Resource Development Corporation, Mior Shafarin Izwan Rusli; dan Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Hj. Ahmad Aftas Azman.
PSA dalam kenyataan berkata, STEP 2026 menjadi titik pertemuan penting yang menghimpunkan rakan industri, institusi akademik, agensi berkaitan, serta alumni bagi membincangkan transformasi industri dan keperluan bakat masa hadapan.
Katanya, pelbagai pengisian utama telah dilaksanakan sepanjang program STEP 2026 berlangsung bagi memperkasa pelajar dan jaringan institusi antaranya, pelajar berinteraksi secara terus dengan pakar industri bagi memahami laluan kerjaya dan keperluan kemahiran sebenar.
Selain itu, Sesi Industry & Career Connect Exhibition yang menyediakan ruang unik bagi pelajar membina jaringan profesional serta mengenal pasti peluang kerjaya dalam sektor berkaitan.
Turut diadakan, Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) bagi memperluas dan mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara PSA dan rakan industri.
Katanya lagi, pendedahan kepada teknologi masa hadapan, pemindahan kepakaran, serta bimbingan industri berupaya membentuk graduan TVET yang berkeyakinan, adaptif, dan berdaya saing.
“Langkah ini juga berupaya mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran (mismatch) serta menyokong aspirasi negara untuk menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada bakat tempatan, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, melalui komitmen dalam memperkasa bakat dan mencorak masa depan, PSA memastikan pendidikan TVET kekal relevan, responsif, dan sentiasa berada di hadapan seiring dengan perkembangan pesat industri semasa. – SUARA.TV


