Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengambil maklum aduan tular di media sosial berhubung keadaan kebersihan sebuah premis makanan kotor di Kulim yang menjalankan perniagaan melalui platform penghantaran makanan dalam talian (e-Dagang).
JKN Kedah dalam kenyataan berkata, susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan pada 26 Oktober 2026 dan mendapati aduan berkenaan adalah benar serta berasas.
Katanya, penilaian mendapati premis memperoleh markah penilaian kebersihan hanya 37.5 peratus (%), dengan beberapa ketidakpatuhan serius termasuk keadaan lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di dalam premis.
“JKN Kedah telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan premis ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, mulai 26 Oktober 2026.
“Satu notis kompaun juga telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Jabatan ini memandang serius sebarang pelanggaran keperluan kebersihan dan keselamatan makanan,”katanya lagi.
Ujarnya, semua pengusaha makanan diingatkan supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak, mengurus sisa makanan dengan sempurna serta mematuhi semua keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang berkuat kuasa.
“JKN Kedah juga ingin menegaskan bahawa peranan platform penghantaran makanan e-dagang amat kritikal dalam rantaian ini.
“Pihak platform penghantaran makanan e-Dagang disarankan untuk terus memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, termasuk memastikan premis yang disenaraikan memenuhi keperluan perundangan dan syarat pelesenan yang berkaitan,”ujarnya lagi.
Tambahnya, kerjasama pihak platform dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang didapati tidak mematuhi keperluan keselamatan dan kebersihan makanan, termasuk mempertimbangkan penyahsenaraian, akan membantu melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan selamat serta menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memesan makanan secara dalam talian.
Beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KKM menjalankan pemeriksaan berkala serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pelanggaran peraturan. SUARA.TV



