KUALA LUMPUR – Datuk Puad Zarkashi ‘memuji’ kebijaksanaan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memandangkan bijak mengurus konflik calon terutamanya dengan MCA.
Puad yang juga bekas pemimpin Umno mendakwa, di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Umno kelihatan semakin dominan.
Bahkan katanya, Pas, MCA dan Wawasan semua tunduk kepada Umno.
“Kali ini MCA tunduk kepada Umno walaupun awalnya nampak garang. MCA membantah kerana diberi dua kerusi sahaja. Bermakna MCA akui Umno semakin kuat dan MCA masih menumpang kekuatan Umno. Don’t play play.
“Sebelum ini banyak kali MCA ugut. Dua ugutan MCA dalam bab calon Umno akur. PRK Tanjung Piai 2019, semua pimpinan sudah naik pentas untuk umum calon.
Tetapi dibatalkan saat akhir kerana MCA membantah. Ketika itu timbul ura ura calon UMNO akan bertanding di PRK tersebut.
“Pada PRN Johor 2022, masalah sama berbangkit lagi. Pemberian watikah ditunda ke sebelah petang kerana ada bantahan daripada MCA.
“Tetapi di PRN Melaka, Umno makin dominan. Tetapi apakah ia akan kekal di PRU16? Real battle ialah tahun hadapan,” tegas Puad.
Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Zahid kerana pandai selesai konflik calon dengan bijaksana.
“Tapi konflik Negeri Sembilan tidak selesai selesai juga,” ujar Puad.



