MAPIM seru kerajaan urus Rohingya secara Madani, tiada pelarian dihantar pulang ke tempat penganiayaan

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru kerajaan memastikan bahawa tiada pengaturan diplomatik mengorbankan maruah manusia demi kemudahan pentadbiran, dan tiada pelarian dihantar pulang ke tempat penganiayaan atas nama penyelesaian krisis.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penyelesaian yang adil terhadap krisis Rohingya memerlukan Myanmar menangani punca utama perpindahan penduduk manakala Malaysia mengekalkan perlindungan yang berperikemanusiaan dan berkesan sementara, ASEAN melaksanakan tanggungjawab serantau, serta masyarakat antarabangsa berkongsi beban secara nyata.

“Inilah pendekatan Madani yang perlu dilaksanakan oleh Malaysia: diplomasi berprinsip, tadbir urus bertanggungjawab, perkongsian tanggungjawab dan kemanusiaan yang disertai akauntabiliti.

“Pendekatan Madani perlu membuktikan bahawa ihsan dan tanggungjawab nasional dapat saling memperkukuh.

“Malaysia mampu melindungi rakyatnya, mengurus sumber negara dan mempertahankan prinsip kemanusiaan secara serentak,” cadang beliau dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut beliau, MAPIM menyokong diplomasi yang membina dengan Myanmar apabila usaha tersebut membuka peluang sebenar untuk menyelesaikan krisis Rohingya.

“Kami menggesa Kerajaan Madani meneruskan penglibatan diplomatik dengan menuntut komitmen yang boleh disahkan, perlindungan yang telus dan kemajuan yang boleh diukur.

“Ukuran kejayaan diplomasi bukanlah sama ada Myanmar bersetuju menerima rakyatnya kembali. Ukuran sebenar ialah sama ada mereka dapat pulang tanpa ketakutan, memperoleh semula hak mereka, hidup dengan selamat dan membina masa depan yang bermaruah.

“Sehingga syarat tersebut dipenuhi, Malaysia perlu mengekalkan kerangka perlindungan sementara yang berkesan, pengurusan pelarian yang bertanggungjawab dan perkongsian tanggungjawab antarabangsa,” katanya.

Azmi menyatakan. Kerangka Madani meletakkan nilai kemanusiaan, ihsan, hormat, kepercayaan dan keadilan sebagai teras pentadbiran.

“Prinsip ini mesti menjadi panduan dalam menguruskan pelarian Rohingya, di samping menangani kebimbangan yang sah berkaitan sumber awam, keselamatan negara, pengurusan imigresen dan keharmonian sosial.

“Malaysia perlu membuktikan bahawa dasar kemanusiaan dapat dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berpandukan perlindungan yang jelas,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat