Oleh Rahmat Ghani
Pengumuman yang besar dan gah mungkin menjadi kebanggaan penyokong serta memberikan keseronokan sementara. Namun, memeriksa realiti ialah pekerjaan yang lebih pahit — dan kadangkala menemukan perkara yang melucukan.
Gabungan ekonomi empat negeri — Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu — atau SG4, mengumumkan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050. Ini cita-cita besar bagi empat negeri yang pada 2025 hanya mempunyai gabungan KDNK sekitar RM133.4 bilion.
Ertinya, ekonomi gabungan itu perlu berkembang lebih lima kali ganda dalam tempoh 25 tahun berbanding asas 2025. Angka sebesar itu tentunya boleh membuat penyokong bertepuk tangan. Soalnya, apakah yang akan membuat pelabur membuka kilang dan rakyat memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lebih baik?
Pengerusi SG4 Group, Dr Haim Hilman Abdullah, ialah bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Dengan latar belakang akademik dan pengurusan beliau, rakyat sewajarnya boleh mengharapkan penerangan yang lebih mendalam tentang bagaimana sasaran tersebut akan diterjemahkan menjadi keupayaan ekonomi sebenar.
Nama besar dan kelayakan akademik menambah kewibawaan sesuatu pembentangan. Namun, kewibawaan sebuah rancangan pembangunan akhirnya bergantung pada mutu perancangan, sumber pembiayaan dan disiplin pelaksanaannya.
Meletakkan sasaran hampir suku abad ke hadapan memang memberikan ruang yang luas untuk menjual impian. Menjual impian tidak salah jika disertai perancangan dan hala tuju yang jelas. Tanpa semua itu, ia mudah menjadi mimpi dalam hamparan Excel — angka terus membesar setiap kali formula pertumbuhan disalin ke lajur berikutnya.
Untuk mencapai KDNK sebesar itu, ekonomi gabungan empat negeri berkenaan perlu berkembang sekitar tujuh peratus setahun secara berterusan dari asas 2025 hingga 2050, dengan menggunakan ukuran harga yang setanding.
Secara matematik, kiraannya boleh dibuat. Secara ekonomi, setiap tahun pertumbuhan itu perlu dihasilkan melalui pertambahan pengeluaran, peningkatan produktiviti, pelaburan yang dilaksanakan dan tenaga kerja yang semakin berkemahiran.
Di sinilah realiti mula mengganggu keseronokan pembentangan.
Pada 2025, Kedah dan Kelantan masing-masing mencatat pertumbuhan ekonomi 4.1 peratus. Perlis berkembang dua peratus, manakala Terengganu hanya 1.6 peratus. Tiada satu pun daripada empat negeri itu mencapai tujuh peratus pada tahun berkenaan.
Prestasi setahun tentunya tidak menentukan masa depan selama 25 tahun. Tetapi apabila sasaran yang diumumkan jauh mengatasi prestasi semasa, pihak yang mengumumkannya perlu menjelaskan perubahan besar yang akan berlaku.
Apakah rombakan dasar dan pentadbiran yang akan menjadi pemangkin kepada lonjakan tersebut? Apakah yang akan dilakukan secara berbeza daripada amalan sekarang?
Jika pendekatannya masih *business as usual*, diselang-seli dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan apabila berhadapan kesukaran, sasaran tujuh peratus itu akan kekal sebagai angka yang lebih mudah disebut daripada dicapai.
Lihat sahaja Terengganu yang dipimpin oleh tokoh tersohor dan diuar-uarkan sebagai calon Perdana Menteri PAS, teknokrat paling hebat dalam Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hanya mampu membawa negerinya mencatat pertumbuhan 1.6 peratus. Pertumbuhan sekecil ini hanya menunjukkan kegagalan merancang pembangunan. Ia kelihatan sekadar pertumbuhan semula jadi, bukannya hasil inisiatif bersungguh-sungguh, jauh sekali usaha luar biasa yang menggambarkan kehebatan kepimpinan seorang teknokrat.
Jadi, ketika cita-cita tinggi melangit, kaki harus menjejak tanah. Jika tidak, ia akan menjadi seperti cerita hantu yang bergentayangan, tidak di bumi dan tidak di langit.
Masalah terbesar bagi keempat-empat negeri ini ialah tanah dan air, yang menjadi antara pertimbangan penting pelabur besar. Urusan tanah dan sumber air berada di bawah kuasa kerajaan negeri, manakala penyediaan bekalan air terawat turut melibatkan operator, agensi dan pembiayaan Persekutuan.
Dalam laporan Bernama pada September lalu, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa, memetik data SPAN yang menunjukkan margin rizab air terawat Kedah pada sifar peratus, Kelantan 2.1 peratus dan Perlis 3.4 peratus. Beliau turut menyebut keperluan setiap negeri mengekalkan rizab 15 peratus.
Margin rizab sifar menunjukkan betapa terbatasnya penampan kapasiti bekalan apabila berlaku peningkatan permintaan atau gangguan operasi. Bagaimana hendak menampung industri baharu jika ruang menghadapi pertambahan permintaan begitu sempit?
Dalam wawancara Sinar Daily pada 31 Julai 2026, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, menyatakan kadar air tidak berhasil atau NRW bagi 2025 ialah 62.3 peratus di Perlis, 55.2 peratus di Kelantan dan 51.8 peratus di Kedah.
NRW merangkumi kebocoran, ketidaktepatan meter dan penggunaan yang tidak menghasilkan hasil. Kadarnya menunjukkan besarnya tugas membaiki sistem air yang sepatutnya menjadi asas kepada pembangunan.
Sebelum bercakap tentang ekonomi RM723.75 bilion, bentangkan dahulu berapa banyak kapasiti air akan ditambah, bila paip akan diganti dan dari mana pembiayaannya.
Kilang tidak boleh beroperasi dengan bekalan air daripada slaid PowerPoint.
Tanah pula tidak memadai sekadar luas dan murah. Pelabur memerlukan tapak yang mempunyai akses jalan, sambungan utiliti, status guna tanah yang jelas dan risiko banjir yang terkawal.
Di sinilah birokrasi pentadbiran menjadi ujian. Berapa lama kelulusan tanah dan kebenaran merancang mengambil masa? Berapa banyak permohonan tertangguh? Siapa menyelesaikan kebuntuan apabila fail tersangkut antara jabatan?
Jika SG4 mahu menjual kecekapan, terbitkan tempoh pemprosesan dan pencapaian sebenar. Pusat sehenti yang menghantar pemohon berulang-alik ke pelbagai jabatan hanya menjadikan perkataan “sehenti” itu bahan jenaka.
Keempat-empat negeri juga memerlukan pendekatan berbeza. Kedah mempunyai asas industri elektrik dan elektronik. Terengganu mempunyai tenaga dan petrokimia. Kelantan perlu memperbesar kegiatan produktifnya, manakala Perlis perlu memanfaatkan perdagangan sempadan.
Bagaimana kekuatan ini akan dihubungkan? Menggabungkan empat angka KDNK dalam satu pembentangan belum membentuk sebuah ekonomi bersepadu.
Banjir pula mempunyai harga yang nyata. DOSM merekodkan kerugian banjir pada 2025 sebanyak RM89.2 juta di Terengganu, RM88.5 juta di Kelantan, RM36.7 juta di Kedah dan RM30 juta di Perlis — keseluruhannya RM244.4 juta.
Angka itu menuntut pelan perlindungan kawasan industri, penambahbaikan saliran dan keselamatan laluan logistik. Tidak banyak gunanya menarik pelaburan jika risiko gangguan operasi terus membebankan perniagaan dan rakyat.
Kerajaan Persekutuan turut mempunyai tanggungjawab. Maka, bentangkan pembahagian tugas, sumber pembiayaan dan jadual pelaksanaan bersama. Jangan ketika mengumumkan sasaran semuanya menjadi kehebatan sendiri, tetapi apabila pelaksanaan tersangkut, semuanya menjadi kesalahan pihak lain.
SG4 perlu menunjukkan sasaran yang boleh diperiksa dalam tempoh pentadbiran semasa: bekalan air lebih stabil, pengurangan NRW, perlindungan banjir, kelulusan lebih cepat dan pertambahan pekerjaan berkualiti.
Nyatakan kos, tarikh siap dan siapa yang bertanggungjawab. Rakyat perlu tahu apa yang akan berubah sebelum pilihan raya seterusnya, bukan sekadar apa yang dijanjikan untuk generasi pengundi pada 2050.
Menjelang tahun itu, ramai yang mengumumkan cita-cita hari ini mungkin sudah tidak lagi memegang jawatan. Tetapi rakyat perlu membuka paip, mencari rezeki dan menghadapi musim banjir sekarang.
Jika jawapannya jelas untuk 2050 tetapi kabur untuk 2030, rakyat berhak bertanya sama ada mereka sedang ditawarkan rancangan pembangunan atau bahan kempen dengan tarikh luput yang sengaja diletakkan terlalu jauh.
Cita-cita boleh sampai ke awan. Tetapi paip air, longkang dan fail permohonan semuanya masih berada di bumi.
Rahmat Ghani adalah penulis luar. Pendapat pihak ketiga mewakili pandangan editorial SuaraTV.


