KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memandang serius tindakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi di Melaka dalam majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
BERSIH bagaimanapun turut mengambil maklum penjelasan Anthony Loke bahawa bantuan tersebut telah diumumkan dalam Belanjawan 2027 dan akan disalurkan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara.
“BERSIH juga tidak mempertikaikan hak golongan pemandu yang layak untuk menerima bantuan tersebut, khususnya dalam keadaan kos sara hidup dan kos operasi yang semakin meningkat.
“Namun begitu, pengumuman mengenai penyaluran bantuan kerajaan di Melaka tidak seharusnya berlaku sewaktu majlis pengumuman calon parti politik kerana ini mengaburkan pemisahan antara urusan kerajaan dengan urusan parti politik di konteks kempen pilihan raya.
“Tindakan ini secara langsung mewujudkan persepsi bahawa bantuan yang dibiayai melalui hasil kerajaan merupakan pemberian atau sumbangan parti politik yang bertanding, sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja.
“Hasil daripada penjualan nombor pendaftaran khas yang digunakan untuk membiayai bantuan ini merupakan hasil kerajaan yang sewajarnya dimanfaatkan untuk kebajikan semua rakyat. Ia bukan dana milik mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut BERSIH, penjelasan bahawa bantuan ini diberikan di seluruh negara tidak menjawab persoalan mengapa pemberian bantuan kepada pemandu di Melaka dibangkitkan dalam majlis pengumuman calon PH ketika negeri tersebut sedang berhadapan dengan pilihan raya.
“Sebagai Menteri Pengangkutan dan juga Setiausaha Agung sebuah parti politik, Anthony Loke seharusnya memastikan tanggungjawab kerajaan dilaksanakan secara berasingan daripada kegiatan kempen partinya.
“Berkenaan dengan isu ini, BERSIH mempergunakan prinsip 3C, iaitu tiada syarat politik, tiada kempen dan tiada penglibatan calon dalam program rasmi kerajaan. Prinsip ini penting bagi memastikan bantuan dan peruntukan kerajaan tidak digunakan untuk memperoleh kelebihan politik sepanjang tempoh pilihan raya.
“BERSIH menyeru parti-parti politik di dalam Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri untuk menghentikan amalan mengumumkan atau mempromosikan bantuan dan peruntukan kerajaan dalam acara kempen parti politik. Peraturan yang jelas dan mengikat juga perlu diperkenalkan bagi mengawal tindakan kerajaan persekutuan dan negeri serta penggunaan sumber kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Pilihan raya yang bersih dan adil menuntut pemisahan yang jelas antara kepentingan kerajaan dengan kepentingan parti politik. Bantuan untuk rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk meraih sokongan politik,” katanya.


