KUALA LUMPUR -Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum mengenai penyebaran maklumat dan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang menjadi perhatian masyarakat.
JPN dalam kenyataan memaklumkan, bagi kes pertama, berdasarkan semakan rekod rasmi JPN, individu lelaki yang berasal dari Bangladesh berkenaan telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2025, secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan. Individu berkenaan juga merupakan suami kepada wanita warganegara Malaysia dan pemegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009.
“Sementara itu, bagi kes kedua yang melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima. Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan. Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“JPN memahami keraguan dan kebimbangan masyarakat berhubung isu yang dibangkitkan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai keraguan atau menemui maklumat yang menimbulkan persoalan berkaitan status kewarganegaraan seseorang digalakkan untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN bagi membolehkan semakan sewajarnya dibuat, tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial,” jelas jabatan itu.
JPN kekal komited dalam memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.



