KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan berlakunya pertemuan antara pimpinan MCA dengan Barisan Nasional (BN) berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Ka Siong menyanggah kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai perkembangan “positif”.
“Sekitar jam 11 malam tadi, atas arahan Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah bertemu dengan saya dan seorang lagi pemimpin MCA di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Pertemuan tersebut berakhir sekitar jam 1 pagi.
“Ya, pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran. MCA telah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hati kami terhadap pengagihan kerusi bagi PRN Melaka.
“MCA sentiasa berpegang pada prinsip dengan mengemukakan fakta, hujah secara rasional dan mengadakan perbincangan secara berhemah.
“Apabila timbul perbezaan pendapat, kami berusaha menyelesaikannya melalui rundingan dan dialog,” katanya.
Namun menurut Ka Siong, berhubung kenyataan Zahid yang menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai perkembangan “positif”, beliau berpandangan bahawa mereka masih belum mencapai matlamat tersebut.
Justeru kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini.
“Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
“Sebarang keputusan mengenai langkah MCA seterusnya serta pendirian muktamad parti berhubung PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat,” jelas Ka Siong.



