KUALA LUMPUR, – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) merancang memperluaskan pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada semua agensi pelancongan menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Dr Wan Muhamad Adam Wan Nordin berkata, inisiatif itu merupakan langkah awal persatuan berkenaan dalam memperkukuh integriti dan tatakelola industri pelancongan, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus agensi pelancongan.
“IBR ini merupakan komitmen kita untuk menolak segala bentuk amalan rasuah,” katanya ketika ditemui Suara TV pada Forum Antirasuah dalam Pengurusan Perolehan dan Tatakelola Terbaik Bersama Industri Pelancongan di Premiera Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama SPRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Tabung Haji itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi sebelum diakhiri dengan pelaksanaan IBR.
Menurutnya, BUMITRA merancang untuk memperluaskan pelaksanaan ikrar berkenaan melalui kerjasama dengan SPRM kepada agensi pelancongan, tanpa mengira saiz syarikat.
Katanya, usaha itu penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tatakelola dan tadbir urus yang diamalkan oleh setiap agensi pelancongan.
“Perkara utama yang mesti dilihat ialah tatakelola itu sendiri, sama ada dalam konteks pengurusan dalaman syarikat mahupun hubungan dengan jemaah.
“Kejayaan atau kegagalan hubungan antara agensi pelancongan dengan pelanggan bergantung pada amalan yang dilaksanakan, sama ada secara dalaman mahupun dalam urusan dengan pelanggan, khususnya jemaah haji dan umrah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata BUMITRA telah mengadakan perbincangan dengan pihak SPRM bagi menggalakkan ahli-ahlinya meneruskan pelaksanaan IBR di agensi pelancongan masing-masing.
Menurutnya, pelaksanaan IBR juga perlu disertai usaha mendidik kakitangan mengenai kepentingan integriti dan tatakelola yang baik dalam operasi harian.
“Tidak kira sama ada agensi pelancongan itu bersaiz besar ataupun kecil, perkara ini penting untuk mendidik kakitangan dan pada masa yang sama memberikan kefahaman tentang kepentingan mengamalkan tatakelola yang baik,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, IBR diketuai Dr Wan Muhamad Adam Wan Nordin selaku Presiden BUMITRA dan disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, YBhg. Dato’ P/TPrj Hairuzam bin Mohamed Amin @ Hamim.
Forum yang berlangsung pada 27 Oktober itu memberi penekanan kepada kepentingan integriti, penolakan rasuah serta amalan tatakelola terbaik dalam industri pelancongan.
BUMITRA berharap usaha berkenaan dapat menjadi langkah permulaan ke arah membudayakan amalan antirasuah dalam kalangan pengusaha pelancongan dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap industri berkenaan.



