KUALA LUMPUR – Semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) bersetuju agihan kerusi diputuskan gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengagihan berkenaan hasil perbincangan dilakukan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, akan ada beberapa persefahaman dan perjanjian antara PN dan BN dalam menghadapi PRN Melaka.
“Semua pihak setuju dengan agihan kerusi dan tiada isu berbangkit berhubung perkara berkenaan.
“Akan ada beberapa persefahaman dan perjanjian yang akan dibuat di antara PN dan BN,” katanya menurut BH di Kelantan pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah memuktamadkan rundingan dengan Pas pada PRN Melaka.
Zahid berkata, menerusi rundingan itu, BN mengesahkan bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas dan ‘rakan-rakannya’ tujuh kerusi.
Katanya, keadaan sokongan terhadap PN di Melaka sangat positif dan tinggi setakat ini yang diharapkan berterusan sehingga hari pengundian.


