KUALA LUMPUR — Tindakan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu disifatkan sebagai sebahagian daripada dinamika dalaman parti itu yang pernah berlaku sebelum ini.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata insiden berkenaan tidak semestinya menjejaskan hubungan MCA dengan BN, memandangkan kedua-dua pihak telah lama bekerjasama dalam arena politik negara.
Beliau berpandangan MCA akhirnya akan terus bersama BN kerana kerjasama itu penting bagi kelangsungan politik parti berkenaan.
“Saya rasa perkara itu tidak memberikan kesan. Tindakan MCA itu merupakan tindakan dalam rumah tangga Barisan Nasional. Tindakan MCA terhadap BN ini bukan kali pertama berlaku, malah sudah berkali-kali. Ini ibarat drama bersiri MCA,” katanya kepada Suara TV di parlimen ketika diminta mengulas tindakan wakil MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN di Melaka.
Mengulas kemungkinan insiden itu memberi gambaran mengenai cabaran kerjasama antara BN dengan Perikatan Nasional (PN), Onn berkata setakat ini, gabungan berkenaan belum dimuktamadkan.
Menurutnya, perkembangan politik semasa sentiasa berubah dan sebarang keputusan mengenai kerjasama antara parti bergantung pada pendirian serta pertimbangan masing-masing.
“Politik ini dinamik. Ada yang mengatakan boleh, ada yang mengatakan tidak boleh.
“Saya menghormati apa-apa pandangan daripada mana-mana parti politik. Dalam politik, sokongan memang ada pasang surutnya. Sekejap ke sana, sekejap ke sini,” katanya.
Beliau berkata tindakan MCA itu wajar dilihat dalam konteks hubungan dalaman BN, manakala sebarang kemungkinan kerjasama BN-PN masih bergantung pada perkembangan politik dan keputusan parti-parti terlibat.



