PM doakan Ustaz Wadi cepat sembuh dan kembali berdakwah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan pendakwah terkenal Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.

“Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.

“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” ucap Anwar.

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan cedera selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di Air Banun, Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran menerusi akaun Facebook pendakwah itu yang memaklumkan beliau bersama beberapa individu lain dalam Toyota Vellfire terbabit dalam kemalangan jam 2 pagi.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf terbabit dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan di Gerik, Perak.

“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terbabit.

“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut hantaran itu tadi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan butiran lanjut mahupun keadaan terkini pendakwah terbabit.

Melalui maklumat berasingan, ustaz Wadi masih menerima rawatan di Hospital Gerik, Perak, susulan mengalami kesakitan di bahagian perut dan dada.

Namun beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.

Seorang sukarelawan, Mohd Amir Faizal, berkongsi video yang dimuat naik di media sosial kira-kira jam 4 pagi tadi.

Menurutnya, keadaan pendakwah itu dilaporkan stabil dan beliau masih mampu bercakap, namun mengadu mengalami kesakitan di bahagian dada serta perut.

“Beliau mendapatkan rawatan di Hospital Gerik dan buat imbasan X-Ray dulu.. Keadaan Ustaz Wadi stabil dan boleh bercakap, cuma dia ada mengadu bahagian dada dan perut ada kesakitan (akibat kemalangan).

“Ustaz duduk di bahagian belakang. Bila kena (kemalangan kereta bertembung) tu, terpelanting habis semua, cuma kenderaan satu lagi tu, mangsa dia ada yang tersepit dan sebagainya, tak sedar dan masih diberi rawatan di sini,” katanya.

Seorang lagi pendakwah yang turut berada dalam kenderaan sama dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dagu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat