KUALA LUMPUR – Perdana Menteri harus menilai semula perancangan dari awal dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi aplikasi navigasi TUJU yang jauh lebih baik dan mampu berfungsi sebagai pengganti Waze yang berkesan.
Penasihat DAP Lim Guan Eng mendakwa, TUJU memalukan negara dan individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa TUJU mempunyai keupayaan teknologi untuk menggantikan Waze wajar dikenakan tindakan
“Pelancaran aplikasi navigasi tempatan TUJU yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alternatif kepada Waze untuk keperluan navigasi jalan raya ternyata menjadi sesuatu yang memalukan negara.
“Walaupun ramai menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, penilaian sewajarnya dan ujian yang ketat perlu dijalankan bagi memastikan aplikasi pengganti, TUJU, benar-benar mampu menandingi serta menggantikan fungsi asas navigasi jalan raya yang ditawarkan oleh Waze.
“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TUJU hanya akan menyusahkan pengguna. Saya telah menerima aduan mengenai ketidakberkesanan TUJU dan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, rakyat Malaysia menyokong penggantian aplikasi Waze kerana risiko keselamatan yang berkaitan dengan maklumat dan data pergerakan rakyat, memandangkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
Namun tegas Guan Eng, mereka tidak menyokong penggantiannya dengan aplikasi yang dalam keadaan terbaik sekalipun masih mempunyai kecacatan, manakala dalam keadaan terburuk pula gagal berfungsi.
“Jelas sekali, Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah.
“Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TUJU?
“Individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa TUJU mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi untuk menggantikan Waze harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan. Adakah pihak yang mereka bentuk TUJU mendapatkan nasihat pakar daripada golongan profesional dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun?
“Bagaimanakah JKSN boleh diharapkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang, memperkukuh kesiapsiagaan negara dan kedaulatan digital, sedangkan keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya pun tidak dapat dipenuhi? soal Guan Eng.



