KUALA LUMPUR – Perbahasan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen semalam sekali lagi memainkan isu sentimen dengan menyatakan Pakatan Harapan (PH) bersendikan DAP.
Sebaliknya, Pas pula dilihat bersendikan fitnah kerana tiada bukti atau justifikasi yang menunjukkan DAP mendominasi PH ataupun Perdana Menteri DatUK Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
“Bagaimana tuduhan DAP mendominasi PH atau Perdana Menteri benar jika DAP hanya memiliki empat Menteri penuh atau hanya 12.5 peratus daripada keseluruhan jumlah menteri yang ada.
“Jelas, ucapan tersebut menunjukkan sikap Pas yang tidak bertamadun sehinggakan perbahasan Belanjawan pun masih dibangkitkan isu sentimen DAP ini,” bidas Faiz.
Ironinya kata beliau, Belanjawan 2027 telah memperlihatkan banyak bantuan Kerajaan Madani kepada rakyat terutama golongan B40.
“Ini termasuklah peningkatan bantuan SARA kepada RM150 sebulan dan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, kepedulian kepada golongan M40 dengan pengurangan kadar cukai pendapatan 1 peratus dan ihsan kepada golongan belia dengan pemberian elaun sara hidup kepada pelajar Tingkatan Enam sebanyak RM2,500.
“Kerajaan Madani turut memberikan penekanan kepada usaha memartabatkan Islam dengan meningkatkan peruntukan bagi hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion pada tahun 2027 berbanding RM2.6 bilion pada tahun 2026.
“Dengan bertambahnya peruntukan dan bantuan ini, tidak pula dituduh ianya sesuatu yang merugikan rakyat dan Islam sedangkan Pas sedar bahawa DAP adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani yang meluluskan Belanjawan, yang didakwa Pas sebagai sendi PH? Maka, ucapan yang mengatakan DAP adalah sendi PH adalah fitnah,” tempelak beliau lagi.
Faiz mengingatkan, Pas tidak seharusnya berterusan meratib isu sentimen sebegini seolah-olah tidak boleh ‘move on’ setelah berpisah dengan DAP sejak 2015.
“Ketika berpisah dahulu didakwa DAP menghalang pindaan RUU355 dan pelaksanaan hukum Hudud.
“Namun, setelah 11 tahun berlalu, RUU355 dan Hudud tidak lagi menjadi agenda perjuangan PAS, namun DAP tetap dijadikan alat sentimen. Sebab itu, saya merasakan Pas masih tidak boleh ‘move on’, ujarnya.



