KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Bersatu selama dua penggal pemilihan.
Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu, namun akan mengemukakan rayuan mengikut saluran dan proses yang ditetapkan parti.
Bagaimanapun, Abu Bakar menegaskan penggantungan tersebut tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar atau kelancaran pentadbiran kerajaan negeri yang akan diteruskan seperti biasa.
“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri. Sesetengah pihak diminta jangan keliru dalam soal ini.
“Sebagai pemimpin atau ahli, soal penggantungan itu adalah urusan parti. Sebagai Menteri Besar, saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” katanya memetik Sinar Harian di Kangar.
Sebelum ini, media melaporkan keahlian Abu Bakar digantung berkuat kuasa 13 Oktober lalu susulan dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, selepas menerima surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.
Selain penggantungan keahlian, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti.
Bagaimanapun, beliau diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan pada Rabu dilaporkan berkata, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Bagaimanapun, beliau turut menyatakan kedudukan kepimpinan negeri bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis.



