KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh keselamatan digital, melindungi maklumat strategik serta mempertahankan kedaulatan data negara.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik keputusan itu yang mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap aspek keselamatan siber, khususnya dalam melindungi maklumat berkaitan lokasi, identiti dan pergerakan daripada risiko penyalahgunaan.
Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad berkata, perlindungan data tidak lagi boleh dianggap sebagai isu teknologi semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kepentingan keselamatan nasional.
“Maklumat berkaitan lokasi, identiti dan pergerakan mempunyai nilai strategik dan tidak boleh terdedah kepada risiko penyalahgunaan yang boleh menjejaskan kepentingan serta kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan berhati-hati kerajaan terhadap penggunaan aplikasi asing yang berpotensi menimbulkan risiko keselamatan data adalah wajar dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa serta-merta itu melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi, termasuk sekiranya menggunakan telefon peribadi bagi tujuan berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menjelaskan bahawa larangan tersebut tidak meliputi penggunaan peribadi penjawat awam di luar tugas rasmi dan tidak membabitkan orang awam atau pekerja sektor swasta.
Penjawat awam turut digalakkan menyahpasang aplikasi berkenaan daripada peranti masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko pendedahan data lokasi dan pergerakan.
WADAH turut menyokong usaha kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu sebagai alternatif kepada Waze.
Langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada platform asing, malah berpotensi merancakkan pembangunan teknologi tempatan dan memperkukuh keupayaan negara dalam membangunkan ekosistem digital sendiri.
Bagaimanapun, Azizuddin menegaskan bahawa aplikasi tempatan juga perlu memenuhi piawaian keselamatan siber, perlindungan data dan tatakelola yang tinggi bagi memastikan keyakinan pengguna terus terpelihara.
Dalam pada itu, WADAH menggesa kerajaan memperluas semakan keselamatan terhadap penggunaan aplikasi dan platform digital asing dalam sektor awam, khususnya yang melibatkan maklumat sensitif, lokasi, identiti serta komunikasi rasmi.
Menurut pertubuhan itu, keselamatan negara pada era digital tidak lagi terbatas kepada kawalan sempadan fizikal, sebaliknya turut melibatkan keupayaan negara mengawal dan melindungi data strategik daripada sebarang ancaman.
“Kedaulatan negara pada era digital turut bermakna kedaulatan terhadap data, teknologi dan maklumat rakyat,” tegas Azizuddin.
Keputusan kerajaan mengehadkan penggunaan Waze ketika menjalankan tugas rasmi dilihat selari dengan usaha memperkukuh keselamatan maklumat sektor awam, di samping membuka ruang lebih luas kepada pembangunan aplikasi dan teknologi digital tempatan.



