KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan pentadbiran sebaliknya, meskipun berdepan dua pertuduhan di mahkamah, hari ini.
Peguamnya Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata, setakat ini tiada arahan diterima yang menghalang anak guamnya daripada meneruskan tugas sebagai penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang keputusan mengenai kedudukan Shuhaily dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada pihak berkuasa pentadbiran berkaitan.
“Setakat ini, tanpa sebarang arahan, beliau tetap akan bertugas seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas prosiding pertuduhan terhadap Mohd Shuhaily di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, memetik Harian Metro pada Rabu.
Mengulas prosiding hari ini, Rosal berkata, mahkamah membenarkan Shuhaily diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Katanya, jumlah itu lebih rendah berbanding RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau RM10,000 keseluruhannya yang dicadangkan pihak pendakwaan.
“Proses pertuduhan dan jaminan sudah selesai. Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah menetapkan 25 November depan bagi sebutan semula kes, sementara pihak pembelaan menunggu dokumen berkaitan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, pihak pembelaan akan meneliti dokumen berkenaan sebelum membincangkan tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan mengemukakan representasi.
Mengulas keadaan Shuhaily, Rosal berkata, anak guamnya reda dan bersedia menghadapi proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Beliau reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Shuhaily, 54, dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan dua anggota Cawangan Khas di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Dua anggota terbabit ialah Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman.
Kes berkenaan membabitkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Insiden itu sebelum ini mendapat perhatian selepas video tular memaparkan seorang lelaki menyerupai Shuhaily memarahi dua lelaki di lapangan terbang, dengan seorang daripadanya kelihatan ditarik pada bahagian telinga.



