Oleh Azmah Dahari
Isu kemungkinan Datuk Seri Utama, Idris Haron bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang perlu dilihat secara objektif dan berlandaskan pendirian sebenar beliau, bukannya berdasarkan spekulasi atau persepsi yang dibentuk oleh pihak lain.
Hasrat untuk bertanding di DUN Sungai Udang bukanlah sesuatu yang diumumkan atau dinyatakan oleh beliau sendiri. Persepsi mengenai kemungkinan tersebut sebaliknya timbul dalam percaturan politik semasa sehingga namanya dikaitkan dengan pelbagai andaian mengenai hala tuju politik beliau. Bagaimanapun, perkara ini tidak bermaksud Datuk Seri Utama Idris Haron terus menutup pintu kepada sebarang kemungkinan. Beliau terbuka untuk mengadakan perbincangan, mendengar cadangan serta mempertimbangkan sebarang tawaran yang membawa faedah kepada semua.
Keterbukaan ini mencerminkan pendekatan politik yang realistik dan matang. Dalam landskap politik yang sentiasa berubah, ruang perbincangan adalah suatu keperluan. Namun, keterbukaan untuk berbincang tidak membawa maksud kepada keputusan untuk bertanding, apatah lagi dianggap sebagai pengesahan terhadap sebarang pencalonan. Kini, dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan segala maklumat yang ingin diketahui boleh didapati di hujung jari maka adalah penting untuk menyemak segala maklumat yang diterima sama ada benar atau persepsi yang dimainkan oleh pihak lain.
Pada situasi semasa, pintu perbincangan DSU Idris Haron sentiasa terbuka, tetapi pihak lain tidak boleh menentukan pendirian beliau. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai cadangan, tawaran atau hasrat untuk berbincang karier politik DSU Idris Haron boleh dibawa ke ruang perbincangan.
Apa yang tidak wajar ialah membentuk naratif seolah-olah keputusan telah dibuat sedangkan tiada pengumuman sedemikian daripada beliau. Dalam politik, komunikasi yang jelas dan keterbukaan untuk berdialog jauh lebih bermakna daripada spekulasi yang berpanjangan. Idris Haron menghormati pandangan semua pihak dan menghargai setiap ruang perbincangan yang dibuka. Pada masa yang sama, beliau berhak menentukan
pendirian politiknya sendiri berdasarkan pertimbangan yang sewajarnya, tanpa keputusan tersebut didahului oleh andaian atau tekanan persepsi. Akhirnya, soal DUN Sungai Udang bukan sekadar mengenai kemungkinan seseorang bertanding. Ia juga mengenai kematangan dalam berpolitik, kejujuran dalam menyampaikan maklumat dan kesediaan semua pihak untuk berkomunikasi secara terbuka.
Jangan anggap keterbukaan sebagai pengesahan, dan jangan jadikan persepsi sebagai keputusan. Ruang perbincangan sentiasa terbuka, tetapi pendirian sebenar hendaklahdirujuk kepada Datuk Seri Idris Haron sendiri.



