Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Menerusi pindaan Akta Hakcipta 2022 dan mandat Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685], PNM sehingga kini telah berjaya menghasilkan reproduksi bahan Braille sebanyak 85 judul dan 103 judul buku audio, kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Edy Irwan Zulkafli.
Edy Irwan berkata, PNM sentiasa berdiri teguh memikul amanah sebagai Entiti Yang Diberi Kuasa (Authorised Entity) di bawah Triti Marrakesh bersama-sama rakan strategik seperti Malaysian Association for the Blind (MAB), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan St. Nicholas Home for the Blind.
Katanya, inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan).
“Keterbatasan diri bukanlah noktah kepada sebuah impian. Kerana di PNM, kita tidak hanya menyediakan buku tetapi kita membina jambatan untuk melebarkan ufuk minda tanpa sebarang sempadan.
“Apabila teknologi berasimilasi dengan empati, tiada lagi jurang keupayaan yang tidak mampu kita rapatkan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Sehari Bersama Orang Kurang Upaya (OKU) Tahun 2026 yang berlangsung di Ruang Pameran, Aras 1, Anjung Bestari, PNM dekat sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, PNM terus komited merobohkan tembok halangan literasi menerusi penganjuran program tahunan ini merupakan kemuncak kepada siri gelombang daya usaha dan aktiviti berkala yang telah mula digerakkan secara berperingkat seawal bulan Ogos lalu.
Antara pengisian utama yang melabuhkan tirainya merangkumi Pertandingan Cerita Di Sebalik Bacaan: Pertandingan Video Naratif (15 Ogos – 25 September), Pertandingan Deklamasi Sajak Suara Inklusif Cilik MADANI (14 September) serta Pertandingan Dendangan Syair Suara Inklusif Generasi MADANI (30 September).
Istimewa pada hari kemuncak, penganjuran disemarakkan lagi dengan sesi Podcast Sembang Inklusif bersama Masitah Mohd Affendy (Mashy) yang dibawakan khas dari Johor Bahru bagi menyuntik inspirasi dan membakar semangat masyarakat.
Di samping itu, pelbagai aktiviti sokongan turut diadakan termasuk Reruai Pameran Produk Teknologi Bantu, Reruai Sukarelawan Sumbang Suara PNM serta perkhidmatan Terapi Refleksologi khas oleh komuniti OKU Penglihatan di Bilik Serbaguna.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa akses kepada ilmu dan maklumat adalah hak milik semua, sekali gus menjadi pemangkin dalam mendokong semangat Malaysia MADANI demi membina masyarakat yang inklusif, prihatin dan sejahtera. – SUARA.TV


