KUALA LUMPUR – Polis belum memperoleh maklumat berhubung sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mula menjalani hukuman tahanan dalam rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penugasan anggota di kawasan itu masih kekal berpandukan perancangan sebelum ini.
“Belum lagi. Saya masih belum menerima sebarang maklumat,” katanya memetik Utusan pada Jumaat.
Semalam, pihak pembelaan mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya sudah menerima perintah berkenaan termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.
Bagaimanapun, Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana beliau sudah dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa perkara itu tidak boleh didedahkan.


