KUALA LUMPUR – Rakyat mahu tahu adakah Anthony Loke akan berundur daripada jawatan Menteri Pengangkutan seperti yang dijanjikan atau akan ada lagi plot twist? soal bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.
Menurut Lian Ker, Datuk Seri Najib Razak sudah ada laluan untuk menjalani tahanan rumah manakala Anthony Loke pula sudah serah surat letak jawatan.
“Katanya, apabila Najib balik rumah, peletakan jawatannya akan berkuat kuasa?
“Tetapi Perdana Menteri meminta beliau terus berkhidmat, drama pun bersambung.
“Persoalannya mudah, surat sudah serah. Syarat sudah disebut. Sekarang, adakah janji akan ditunaikan atau skrip baharu akan muncul?
“Kalau benar prinsip menjadi taruhan, prinsip itu sepatutnya mempunyai garis penamat yang jelas dan bukannya bergantung pada episod demi episod.
“Rakyat tidak mau ditipu dengan drama bersiri,” kata Lian Ker.
Terdahulu media melaporkan, surat peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hanya akan berkuat kuasa pada tarikh Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan dari penjara.



