SPRM sudah rakam keterangan Mat Sabu isu kelewatan baja subsidi

KUALA LUMPUR- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menghargai tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kelewatan penghantaran baja bersubsidi kerajaan.

Ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu, Mat Sabu berkata, tindakan pantas itu adalah penting bagi mengelakkan tuduh menuduh dan melindungi kepentingan pesawah.

“Kita berharap SPRM bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya pun dipanggil memberi keterangan dan sangat gembira apabila perkara ini dapat diselesaikan serta mencari jalan terbaik untuk kepentingan petani.

“Siapa yang melakukan rasuah atau tidak bukan kita yang hendak menuduhnya. Kita serahkan pada penyiasat,” katanya.

Mat Sabu berkata, kelewatan penghantaran baja itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pesawah di utara Semenanjung sehingga mendorong mereka mengadakan bantahan dengan membawa sepanduk.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa kementeriannya sudah mengambil tindakan secara langsung sebelum bantahan awam memuncak, termasuk melakukan lawatan tanpa notis ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi bertemu pengarahnya.

“Saya pergi secara tertutup ke MADA dan bertemu pengarahnya untuk membincangkan perkara itu. Beliau mengesahkan memang berlaku kelewatan,” katanya.

Mohamad berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan baharu MADA, kementerian mengenal pasti pembekal yang gagal melaksanakan tugas dengan memuaskan dan mengesyorkan penamatan kontraknya secara langsung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Kewangan.

“Kontrak syarikat itu kemudiannya dihentikan dan selepas itu SPRM pun masuk,” katanya lapor BH pada Rabu.

Kerajaan lazimnya melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai badan yang bertanggungjawab mengagihkan baja bersubsidi di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) kepada pesawah di kawasan MADA.

SPRM melancarkan siasatan susulan aduan bahawa pembekal swasta yang dilantik sebagai subkontraktor di bawah kerangka Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)-Nafas gagal menghantar Baja 3 (baja sebatian) mengikut jadual ke kira-kira 100,000 hektar kawasan sawah padi di bawah MADA di Kedah dan Perlis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat