KUALA LUMPUR – Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila, Filipina, bulan depan bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan menangani masalah terbabit.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu jerebu perlu diberi perhatian khusus memandangkan ia tidak termasuk dalam mekanisme ASEAN sedia ada berkaitan bencana alam.
“Kita memang ada mekanisme (dalam) ASEAN berkenaan dengan bencana alam tapi jerebu tidak termasuk (diklasifikasikan) sebagai bencana alam.
“Jadi memang ia menjadi satu daripada isu yang saya sendiri akan bawa dalam mesyuarat dengan rakan sejawat saya,” katanya kepada media selepas menghadiri keberangkatan pulang Raja Jordan Raja Abdullah II, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapor BH pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, beliau menghubungi rakan sejawat dari Indonesia, Arrmanatha Nasir, untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung usaha memadamkan kebakaran di negara itu.
Beliau berkata, Arrmanatha memaklumkan keadaan penglihatan yang amat buruk di kawasan terjejas menyukarkan operasi penerbangan bagi memadamkan kebakaran.
“Mereka (Indonesia) ada 34 kapal terbang dan 34 helikopter tapi tidak boleh naik (berlepas) kerana keadaan penglihatan yang begitu buruk, tidak selamat bagi apa-apa juga penerbangan di kawasan terbabit.
“Tetapi mereka telah pun mengerahkan 60,000 orang untuk bekerja di lapangan,” katanya sambil menambah negara itu turut berdepan cabaran kerana lokasi kebakaran terletak jauh di pedalaman, selain masalah bekalan air dan api yang masih membara di kawasan tanah gambut.
Mohamad berkata, usaha pembenihan awan juga dilaporkan tidak dapat dilakukan di Indonesia buat masa ini berikutan ketiadaan awan kumulonimbus yang sesuai.
Beliau berkata, Malaysia mengiktiraf bahawa kerajaan Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran dan bersimpati dengan keadaan yang melanda negara itu.
Namun, katanya, Malaysia berharap langkah lebih berkesan dapat diambil negara jiran itu kerana situasi terkini memudaratkan rakyat.


