KUALA LUMPUR – Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempersoalkan sama ada perlumbaan Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) wajar dianjurkan secara tetap semula atau sebaliknya.
Menurut Tengku Zafrul, persoalan utama ialah bolehkah kita menjadikan F1 sebagai penganjuran perlumbaan yang cukup menguntungkan Malaysia?
“Ramai pelumba dan peminat F1 masih menganggap Sepang antara litar paling mencabar dalam dunia F1. Selekoh laju, cuaca yang tak menentu dan reka bentuk litar yang betul-betul menguji kemahiran pelumba. Memang litar untuk pure racing!
“Kita dah ada litar bertaraf dunia. Tapi untuk membawa F1 kembali, kita kena fikir lebih daripada sekadar perlumbaan. Bagaimana nak tarik pelancong, jana pendapatan dan pastikan manfaat ekonominya berbaloi dengan kos penganjuran?
“The big question: can we make F1 profitable enough for Malaysia? soalnya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan, baru balik dari F1 Singapura. Terima kasih kepada Kerajaan Singapura atas jemputan. Memang antara perlumbaan paling menarik tahun ini.
“Seronok juga dapat jumpa kawan-kawan lama. Singapura memang hebat dalam menjadikan F1 bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu pengalaman yang lengkap.
“Daripada layanan tetamu, hiburan hinggalah suasana di sekitar perlumbaan, semuanya bertaraf dunia. Mereka juga anjurkan persidangan dan acara perniagaan sempena F1, menjadikannya platform untuk membina hubungan dan membuka peluang ekonomi,” katanya.


