KUALA LUMPUR – Politik prestasi, politik identiti dan politik sakau antara istilah digunakan untuk meraih sokongan rakyat. Namun, ianya akan berubah-ubah mengikut negeri dan lawan yang dihadapi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu sedar bahawasanya rakyat mampu membandingkan janji dengan tindakan, slogan dengan pencapaian, serta dakwaan dengan bukti.
“Rakyat tertanya-tanya; apakah yang sebenarnya diperjuangkan, adakah prinsip atau kuasa? Seperti di Negeri Sembilan, PH mengetengahkan naratif “politik prestasi” dan menggambarkan lawannya sebagai pengamal politik perkauman. Rakyat diminta menilai pencapaian pentadbiran, sementara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diletakkan dalam kerangka politik identiti.
“Di Melaka pula, ukuran tersebut berubah. Jika prestasi menjadi kayu ukur, pentadbiran BN juga mesti dinilai secara adil. Johor dan Melaka tidak boleh diketepikan hanya kerana pencapaiannya tidak menguntungkan naratif PH.
“Mengapa apabila bercakap tentang pentadbiran sendiri, ukurannya adalah prestasi, tetapi apabila berhadapan dengan lawan, istilah “sakau” pula diketengahkan? soal Razlan.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, prestasi tidak boleh menjadi ukuran hanya apabila PH mendapat kelebihan. Tuduhan pula tidak boleh menggantikan penilaian apabila lawan menunjukkan pencapaian.
“Ibarat sesumpah bertukar warna mengikut keadaan, perubahan naratif seperti ini memperlihatkan politik yang terlalu bergantung pada keperluan semasa. Hari ini bercakap tentang prestasi, esok menyerang identiti, lusa melabel lawan dengan tuduhan.
“Rakyat akhirnya menilai jarak antara kata-kata di pentas ceramah dengan kehidupan yang mereka lalui. Mereka menilai harga barang, peluang pekerjaan, pendapatan keluarga dan mutu perkhidmatan. Retorik yang hebat tidak dapat menutup kesusahan yang dirasai setiap hari.
“Pada pandangan saya, yang semakin terserlah ialah politik dendam. Apabila pelbagai naratif gagal meyakinkan rakyat, kuasa tidak sepatutnya dijadikan jalan untuk membalas penentangan atau menghukum perbezaan pendirian,” bidas beliau.
Menurut Razlan, politik dendam menjadikan pengkritik sebagai musuh, teguran sebagai ancaman dan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk memberikan tekanan. Jika pihak yang enggan menurut kehendak politik pemerintah ditekan atau dihukum, itu bukan pentadbiran yang sihat. Itulah politik dendam yang wajib ditolak.
“Lebih membimbangkan sekiranya budaya ini meresap ke dalam institusi penguatkuasaan. Pegawai yang memikul amanah negara tidak boleh diletakkan dalam keadaan terpaksa memilih antara tanggungjawab kepada undang-undang dengan tekanan daripada pihak yang lebih berkuasa.
“Penguatkuasaan mesti berasaskan undang-undang dan bukti. Sebarang dakwaan bahawa institusi digunakan untuk menzalimi musuh politik perlu dijawab secara telus dan disiasat secara bebas.
“Kerajaan yang membiarkan dendam menentukan tindakannya akan menghakis keyakinan rakyat. Setiap langkah dilihat sebagai usaha mempertahankan kuasa, sedangkan amanah sebenar ialah menyelesaikan masalah negara.
“Kalau benar mahu politik prestasi, gunakan ukuran yang sama terhadap semua. Kalau benar mahu melawan “sakau”, kemukakan bukti dan biarkan undang-undang berjalan secara adil.
“Jangan menukar kayu ukur setiap kali lawan menunjukkan kelebihan. Jangan pula menjadikan kuasa sebagai alat membalas dendam.
“Rakyat memberikan mandat untuk mentadbir, bukan lesen untuk menekan dan menghukum musuh politik,” kata Razlan.



