KUALA LUMPUR — Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membidas wartawan sukan, Rizal Hashim susulan pertikaian mengenai sumbangan John Beasley serta hala tuju pembangunan sukan berbasikal Malaysia.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Azizulhasni mempertahankan jawapan terbuka Beasley kepada Rizal yang disifatkannya sebagai menyeluruh, berasaskan pengalaman, fakta dan data serta membawa mesej mengenai keperluan perubahan dalam arena sukan negara.
Menurutnya, penjelasan itu wajar dibaca dengan fikiran terbuka kerana ia menyentuh keadaan sebenar sukan berbasikal, cabaran pembangunan atlet dan persoalan yang dibangkitkan terhadap mereka.
“Dia kena ingat yang diri dia sendiri yang mula mengkritik JB dan saya, tetapi dia koyak selepas kami berdua memberikan jawapan balas,” katanya, merujuk kepada Beasley dengan singkatan JB.
Azizulhasni berkata, walaupun berdepan layanan yang menurutnya tidak sewajarnya daripada sesetengah pihak, Beasley masih mahu melihat sukan berbasikal Malaysia dan arena sukan negara terus maju.
Beliau turut menggesa Rizal menunjukkan ketegasan yang sama sekiranya timbul isu melibatkan individu yang dekat dengan wartawan berkenaan, sambil mempersoalkan kecenderungan memilih isu tertentu untuk dikritik.
Dalam hantaran sama, Azizulhasni mendakwa pertikaian itu turut mendapat perhatian komuniti berbasikal trek antarabangsa dan melahirkan rasa malu terhadap sikap sesetengah pihak yang pada pandangannya menjejaskan nama baik Malaysia.
Beliau mengakhiri tulisan itu dengan sindiran, menandatangani hantaran sebagai “Juara tiup belon Tadika Kemas Dungun 1993”.
Sementara itu, Beasley menerusi tulisan bertajuk “An Open Response to Rizal Hashim” menegaskan beliau menghormati hak wartawan untuk mempersoalkan dasar sukan, keputusan kejurulatihan dan prestasi program kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cara artikel asal Rizal dipersembahkan serta beberapa kesimpulan yang dibuat mengenainya.
Menurut Beasley, prinsip ketepatan fakta, pelaporan seimbang dan etika kewartawanan yang ditekankan Rizal perlu turut diterapkan dalam pelaporan wartawan itu sendiri.
Beliau mendakwa pandangannya tidak diperoleh terlebih dahulu walaupun beliau boleh dihubungi untuk menjelaskan keadaan di sebalik isu yang dibangkitkan.
Beasley menyifatkan artikel berkenaan sebagai memberikan gambaran terpilih dan mengelirukan, menurut penilaiannya, kerana tidak mengambil kira penjelasan daripada pihaknya.
Beliau turut mengaitkan artikel itu dengan satu sesi dialog anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), yang menurutnya sepatutnya membincangkan hala tuju pembangunan berbasikal Malaysia.
Namun, daripada perspektifnya, perbincangan tersebut beralih daripada objektif asal kepada rungutan bersifat peribadi terhadap dirinya.
Beasley mempersoalkan cara sesi itu dikendalikan serta sama ada usaha mencukupi dibuat untuk memastikan perbincangan kekal tertumpu kepada agenda yang ditetapkan.
Dalam menjelaskan perselisihan dengan sesetengah jurulatih negeri, beliau menegaskan majoriti jurulatih berkenaan bekerja keras dalam keadaan mencabar, termasuk berdepan kekurangan kemudahan, sumber dan peluang pertandingan.
Katanya, komitmen mereka dihormati, namun perselisihan dengan sebilangan kecil individu telah menyukarkan usaha pembaharuan.
Antara isu yang dijelaskan ialah pemilihan pelumba lelaki bawah 17 tahun bagi acara daya tahan dalam satu pertandingan remaja antarabangsa yang dianjurkan pasukan prestasi tingginya.
Menurut Beasley, pasukan itu mendapatkan penajaan dan menganjurkan pertandingan tersebut bagi menyediakan persaingan antarabangsa yang sesuai kepada pelumba remaja kebangsaan menjelang Kejohanan Dunia Remaja.
Beliau berkata, penyertaan pelumba negeri turut diterima apabila jumlah peserta dan tahap persaingan mengizinkan.
Bagaimanapun, katanya, sesetengah pelumba berada jauh di bawah tahap diperlukan sehingga dipintas satu pusingan pada peringkat awal perlumbaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan keselamatan.
Beliau menegaskan keputusan tidak menerima penyertaan tertentu dibuat berdasarkan standard pertandingan dan keselamatan pelumba, bukannya perbezaan peribadi dengan jurulatih.
Mengenai persoalan legasinya, Beasley bersetuju bahawa tempoh perkhidmatan panjang semata-mata bukan ukuran kejayaan.
Sebaliknya, beliau mahu dinilai berdasarkan keputusan, program yang dibangunkan serta standard antarabangsa yang dicapai sepanjang penglibatannya bersama Malaysia.
Menurutnya, sejak diberikan tanggungjawab membangunkan program berbasikal trek berprestasi tinggi pada 2006, Malaysia berkembang daripada asas yang terhad kepada negara yang mampu memenangi pingat di temasya utama dunia.
Beliau merujuk pencapaian termasuk pingat perak dan gangsa Olimpik, gelaran juara dunia serta kejayaan dalam pelbagai pertandingan antarabangsa sebagai sebahagian daripada asas penilaian terhadap sumbangannya.
Pada masa sama, Beasley menjelaskan bahawa tanggungjawab utamanya sepanjang sebahagian besar tempoh itu ialah kejurulatihan elit berprestasi tinggi, bukannya mentadbir setiap program pembangunan negeri.
Selepas Olimpik Paris 2024, katanya, beliau diminta memikul peranan kepimpinan teknikal yang lebih luas bagi memperkukuh sistem pembangunan kebangsaan dan menyediakan generasi seterusnya dalam kalangan jurulatih Malaysia.
Beliau berkata, perubahan peranan itu bukan atas permintaannya, tetapi diterima kerana percaya pengalaman yang dimilikinya boleh membantu membina sistem lebih mampan.
Namun, usaha memperkenalkan perubahan didakwanya berdepan tentangan yang lebih besar daripada jangkaan.
Beasley turut membangkitkan kelemahan struktur pembangunan atlet yang pada pandangannya terlalu dipengaruhi sasaran penyertaan dan pungutan pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurutnya, bagi banyak negeri, peluang memenangi pingat SUKMA mempengaruhi penentuan sukan yang menerima pembiayaan serta atlet yang diberikan sokongan.
Apabila berbasikal trek tidak dipertandingkan, katanya, sesetengah negeri mempunyai dorongan yang terhad untuk mengekalkan program pembangunan acara itu.
Sokongan juga boleh terjejas apabila atlet melepasi had umur SUKMA, sekali gus mewujudkan jurang antara pembangunan remaja dengan keperluan bersaing pada peringkat elit antarabangsa.
Beliau mempersoalkan bagaimana laluan pembangunan atlet yang mampan dapat diwujudkan sekiranya pelaburan negeri terlalu tertumpu kepada pertandingan berhad umur berbanding pembangunan jangka panjang menuju Olimpik.
Selain itu, Beasley membangkitkan keperluan program perlumbaan domestik yang berterusan bagi melahirkan generasi pelapis.
Katanya, kehilangan penaja penting bagi pertandingan trek dan BMX menimbulkan kebimbangan mengenai cara peluang pertandingan tersebut dapat digantikan.
Tanpa pertandingan yang kerap dan bermutu, menurutnya, atlet muda berbakat sekalipun akan menghadapi kesukaran untuk berkembang.
Menjawab persoalan mengenai pelumba remaja yang tidak meneruskan kejayaan pada peringkat senior, Beasley menegaskan bahawa pencapaian awal tidak boleh dianggap jaminan kejayaan jangka panjang.
Beliau menghuraikan bahawa kematangan biologi, perkembangan fizikal, mutu kejurulatihan, kecederaan, motivasi, ketahanan psikologi, sejarah latihan dan peluang ketika tempoh peralihan semuanya mempengaruhi perkembangan seseorang atlet.
Justeru, katanya, keberkesanan program pembangunan perlu dinilai berdasarkan kemajuan jangka panjang, bukannya hanya jumlah pingat remaja yang dikumpulkan.
Dalam tulisan sama, Beasley turut mempersoalkan konteks maklumat yang disampaikan kepada Rizal mengenai jurulatih Herman Terryn dan Graham Seers.
Beliau mengiktiraf sumbangan Terryn, namun mendakwa sesetengah individu yang memberikan pandangan positif mengenai jurulatih itu pernah terlibat dalam usaha menyingkirkannya.
Beasley juga membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan yang membawa kepada pemergian Seers, yang disifatkannya telah menjalankan kerja pembangunan bernilai.
Beliau menegaskan Rizal tidak perlu menerima keterangannya tanpa soal, tetapi perlu memberikan penelitian yang sama terhadap pihak yang membekalkan maklumat.
Berhubung pemindahan ilmu kepada jurulatih tempatan, Beasley berkata beliau telah berkongsi pengetahuan, membangunkan sistem latihan dan memberikan pendedahan kepada persekitaran sukan berprestasi tinggi antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, melahirkan jurulatih berkualiti memerlukan lebih daripada sekadar melantik bekas atlet ke jawatan kejurulatihan.
Ia perlu disokong pendidikan tersusun, bimbingan, pengalaman praktikal, pemahaman saintifik, pembangunan profesional dan penilaian berterusan.
Beliau turut bersetuju bahawa sebuah program yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada seorang individu.
Mengakhiri penjelasannya, Beasley mengakui beliau tidak sentiasa membuat keputusan yang betul, namun menegaskan komitmen serta pencapaian sepanjang perkhidmatannya tidak wajar diketepikan menerusi gambaran terpilih mengenai pertikaian dalaman.
Beliau menyatakan kesediaan agar rekod profesionalnya diteliti dan mengalu-alukan perbincangan berasaskan bukti mengenai masa depan berbasikal Malaysia.
Pada masa sama, katanya, akauntabiliti perlu meliputi semua pihak, termasuk mereka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan atlet, pembentukan dasar dan pelaporan isu sukan.


