Tuduhan rasuah RM350,000: Pegawai SPRM buat laporan polis, mohon siasatan terhadap pegawai kanannya

PUTRAJAYA – Kontroversi dakwaan rasuah RM350,000 memasuki episod baharu apabila SuaraTV difahamkan seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang namanya dikaitkan dengan perkara itu bukan sahaja membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya, malah memohon siasatan terhadap seorang pegawai kanan SPRM di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Portal Malaysia Corporate sebelum ini melaporkan dakwaan sumber bahawa wang RM350,000 berkenaan merupakan dana sumbangan bagi pelaksanaan program pencegahan rasuah.

Artikel itu turut mengaitkan bekas Pengarah Siasatan SPRM, Tan Sri Azam Baki, dengan penyimpanan wang tersebut, selain mendakwa pegawai SPRM, Maharidzwan Mahadzir, mengesahkan perkara berkenaan. Dakwaan itu dipetik daripada sumber yang tidak dinamakan, bukannya kenyataan langsung Maharidzwan.

Kontroversi sama turut mendapat perhatian Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Haji Jais Abdul Karim, yang menggesa penubuhan pasukan siasatan khas atau jawatankuasa siasatan bebas bagi meneliti kesahihan dakwaan tersebut.

Jais mahu penelitian merangkumi keterangan saksi, semakan bukti dan penentuan sama ada siasatan terdahulu pernah dijalankan.

Beliau menegaskan bahawa MCW tidak menghukum sesiapa berdasarkan tuduhan media sosial, tetapi dakwaan serius yang boleh menjejaskan maruah institusi antirasuah negara perlu diberikan penjelasan.

Semalam, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan penubuhan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti semula dakwaan rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan suruhanjaya itu dan kembali tular baru-baru ini.

Menurut kenyataan berkenaan, isu tersebut pernah disiasat pada 2018, namun kes ditutup selepas tiada sebarang kesalahan berjaya dibuktikan.

Bagaimanapun, susulan gesaan serta penularan semula isu itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengarahkan pasukan khas berkenaan ditubuhkan dengan kadar segera.

“Langkah itu diambil bagi memastikan integriti SPRM terus terpelihara selain mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan terbaharu, berdasarkan maklumat yang diterima SuaraTV, Maharidzwan membuat laporan polis di Putrajaya hari ini bagi menafikan penglibatannya dalam penerimaan atau penggunaan wang berkenaan untuk membiayai program pencegahan rasuah.

Pengadu turut menafikan dakwaan yang mengaitkan Jais dengan penerimaan atau penggunaan wang tersebut.

Dalam laporan sama, Maharidzwan memohon polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap seorang pegawai kanan SPRM yang dinamakan dalam aduannya sebagai Datuk Saiful, berhubung penerimaan wang RM350,000 yang didakwa berlaku pada November 2017.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat