Belanjawan 2027 perkukuh perlindungan khazanah alam, kesejahteraan rakyat – Arthur

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 memperkukuh komitmen kerajaan melindungi khazanah alam negara, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian dalam pelaksanaan agenda pembangunan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan bagi pemuliharaan biodiversiti, perlindungan hutan dan bantuan kepada mangsa serangan hidupan liar mencerminkan pendekatan kerajaan yang mengimbangi keperluan alam sekitar dengan kepentingan masyarakat.

Menurutnya, tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” membawa aspirasi untuk memacu kemajuan negara berteraskan pembangunan mampan dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab.

“Kementerian akan terus berusaha memastikan agenda pemuliharaan biodiversiti, perlindungan hidupan liar serta pengurusan sumber asli dan alam sekitar menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan, inklusif dan seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Arthur berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerima RM2.51 bilion bagi tahun 2027, meningkat 4.8 peratus berbanding tahun 2026.

Daripada jumlah itu, peruntukan belanja mengurus berjumlah RM1.59 bilion berbanding RM1.49 bilion pada tahun 2026, iaitu peningkatan 6.9 peratus.

Katanya, pertambahan tersebut menyokong kesinambungan tanggungjawab kementerian dalam memperkukuh pengurusan sumber asli serta memastikan kelestarian alam sekitar kekal menjadi sebahagian penting daripada pembangunan negara.

Beliau turut menyambut peningkatan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan atau *Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation* (EFT) kepada RM270 juta berbanding RM250 juta pada tahun 2026.

“Peningkatan ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam mempergiat usaha pemuliharaan alam sekitar serta melindungi khazanah biodiversiti negara,” katanya.

Dalam menangani kesan konflik manusia dengan hidupan liar, Arthur berkata, peruntukan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) dinaikkan 20 peratus kepada RM1.8 juta berbanding RM1.5 juta pada tahun 2026.

Menurutnya, bantuan itu dapat meringankan beban kerugian rakyat, di samping menyokong pengurusan hidupan liar yang mengambil kira aspek pemuliharaan dan kesejahteraan masyarakat.

Sebanyak RM65 juta turut disediakan, antaranya untuk memanfaatkan sekitar 2,500 renjer komuniti daripada kalangan Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis bagi melindungi biodiversiti negara.

Peruntukan itu merangkumi pembinaan dan penyelenggaraan pos renjer untuk tujuan rondaan.

Arthur berkata, agenda kelestarian turut diperkasakan melalui pelanjutan dan penambahbaikan program Elaun Cukai Pelaburan Teknologi Hijau (GITA) serta Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2030.

Katanya, syarikat yang melabur dalam aset teknologi hijau yang memenuhi syarat ditetapkan, termasuk peralatan cekap tenaga dan stesen pengecasan kenderaan elektrik bagi kegunaan sendiri, layak mendapat elaun cukai sehingga 100 peratus.

Usaha itu diperkukuh menerusi pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad untuk Grid Nasional, RM1 bilion oleh UEM LESTRA bagi projek tenaga hibrid dan penyimpanan tenaga serta Dana Iklim KWAP bernilai RM1 bilion.

Beliau berkata, komitmen pemuliharaan turut melibatkan kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan, termasuk peruntukan RM15 juta daripada dana ses industri sawit bagi pemuliharaan spesies terancam seperti Harimau Malaya dan gajah.

Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyediakan RM400 juta untuk membangunkan 120 ekar kawasan hijau baharu, di samping pewartaan 100 ekar tanah di Bukit Kiara sebagai Taman Persekutuan.

Bagi melindungi ekosistem marin, inisiatif pembelian pukat lama turut diperkenalkan, disusuli penaiktarafan sistem pembetungan awam di pulau peranginan utama seperti Langkawi, Redang dan Tioman.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat