KUALA LUMPUR – Polis percaya perasaan dendam, termasuk berkaitan penolakan cinta antara motif pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata motif berkenaan bagaimanapun masih diperhalusi menerusi siasatan yang sedang dijalankan.
“Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalin hubungan dengan kawan baik sendiri.
“Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Johor Bahru lapor BH pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan adalah rakan sekelas mangsa dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.
Ab Rahaman berkata, sepanjang siasatan dari 4 hingga 8 Oktober, polis membuat beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng, termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Katanya, batang besi itu dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan sebagai pemegang untuk memukul mangsa.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita percaya pukulan mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa,” katanya.
Polis juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan keadaan di lokasi kejadian yang menemukan meja dan kerusi terbalik, selain sebuah pasu pecah serta terdapat kesan menunjukkan mangsa cuba mempertahankan diri.
Bagaimanapun, katanya, siasatan setakat ini tidak menjurus kepada pasu berkenaan digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.
Selain batang besi, antara barang kes dirampas ialah iPhone 13 Pro, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, satu set dekoder jenama Alhua Technology, seluar sukan berwarna hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah.
Polis turut merampas sebuah beg kanvas mengandungi peralatan tulis, beg galas mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, anak kunci berlambang Yamaha, botol minuman Owala, tiga helai kertas kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu.
Ab Rahaman berkata, semua barang kes berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Ditanya sama ada terdapat cubaan merogol mangsa dalam kejadian itu, beliau berkata, setakat ini siasatan tidak mengesan perkara berkenaan.
Katanya, suspek juga setakat ini tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah, manakala isu berkaitan keadaan mental remaja berkenaan akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia didakwa dan perlu dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.
Katanya, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut.
Pada 3 Oktober, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, suspek ditahan reman selama enam hari pada 4 Oktober bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi bermula esok.


