Syarikat Malaysia harus dikenakan tindakan tegas jika terlibat dengan kebakaran hutan di Indonesia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR –  Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menggesa syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi di Indonesia mendedahkan rekod kebakaran serta langkah pencegahan masing-masing ketika rakyat menanggung kesan jerebu.

Beliau menegaskan syarikat perlu tampil memberikan penjelasan, sementara pelabur institusi termasuk dana yang menguruskan simpanan rakyat mesti menggunakan kuasa sebagai pemegang saham untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap alam sekitar.

“Jangan biarkan simpanan rakyat menjadi modal kepada syarikat yang mengaut keuntungan sementara rakyat terpaksa menelan asap!” katanya menerusi tulisan bertajuk “Jerebu: Rakyat Tanggung, Syarikat Lepas Tangan?”.

Menurut Tengku Zafrul, penutupan 1,198 sekolah di Johor pada 8 dan 9 Oktober menyebabkan lebih 617,000 murid terpaksa belajar dari rumah akibat jerebu.

“Bukan kerana cuti, tetapi kerana udara di luar tidak selamat untuk mereka sedut,” katanya.

Beliau turut merujuk penutupan 647 sekolah di Sarawak pada bulan lalu serta bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 di Serian sehingga darurat diisytiharkan.

Katanya, pada pagi 8 Oktober, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU tidak sihat, manakala tiada satu pun stesen pemantauan merekodkan bacaan baik.

Beliau berkata, Kuala Lumpur dan Singapura juga silih berganti menduduki tempat pertama dalam ranking langsung bandar raya utama paling tercemar di dunia dalam tempoh dua hari.

“Ini bukan ranking yang kita mahu!” katanya.

Tengku Zafrul turut merujuk penemuan Greenpeace dan Pantau Gambut yang menurutnya mengesan lebih 1,600 titik sumber asap dalam kawasan konsesi perladangan dan hutan di Indonesia, termasuk konsesi yang dikaitkan dengan kumpulan syarikat dari Malaysia serta Singapura.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penemuan itu belum membuktikan pihak yang bersalah dan perlu disusuli siasatan.

“Penemuan ini belum membuktikan siapa yang bersalah. Tetapi ia mesti disiasat, dan syarikat yang terlibat perlu tampil memberi penjelasan,” katanya.

Beliau menyokong pendirian Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat Malaysia yang terbukti terlibat dalam kebakaran di Indonesia, namun menegaskan usaha menangani isu itu tidak boleh terhenti pada pendirian berkenaan sahaja.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul mengemukakan lima tindakan konkrit, bermula dengan tuntutan supaya syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi di Indonesia mendedahkan peta konse, rekod titik panas sejak Ogos serta langkah mencegah dan memadamkan kebakaran.

“Kalau sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tunjukkan buktinya. Jangan takut kalau tiada apa yang ingin disembunyikan!” katanya.

Kedua, beliau menggesa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti memastikan syarikat tersenarai segera mendedahkan penutupan kawasan, penggantungan permit atau tindakan undang-undang membabitkan konsesi luar negara yang mempunyai implikasi material.

Menurutnya, pelabur berhak mengetahui perkembangan yang berlaku kepada syarikat tempat mereka melabur.

Ketiga, pelabur institusi termasuk dana yang menguruskan simpanan rakyat perlu menggunakan kedudukan mereka sebagai pemegang saham untuk menuntut penjelasan serta tindakan terhadap syarikat yang gagal memenuhi tanggungjawab alam sekitar.

Keempat, beliau menyeru kerjasama lebih erat dengan kerajaan Indonesia dalam perkongsian maklumat mengenai syarikat berkaitan Malaysia yang telah dikenakan tindakan berhubung kebakaran hutan.

Katanya, kerjasama itu perlu dilaksanakan dengan menghormati kedaulatan dan undang-undang Indonesia, bagi membolehkan Malaysia meneliti tindakan yang boleh diambil mengikut undang-undang negara ini.

Desakan kelima ialah memastikan penggubalan undang-undang khusus jerebu rentas sempadan disertai mekanisme penguatkuasaan yang berkesan.

Tengku Zafrul menyambut baik langkah kerajaan mengkaji undang-undang berkenaan, termasuk model Singapura, namun mengingatkan bahawa kewujudan akta semata-mata tidak menjamin keberkesanannya.

Menurut beliau, Singapura sudah mempunyai akta sedemikian sejak 2014, tetapi selepas 12 tahun masih belum ada pendakwaan yang dapat disahkan di bawah akta tersebut.

“Kita bukan sekadar perlukan undang-undang baharu. Kita perlukan undang-undang yang benar-benar boleh dikuatkuasakan, termasuk mekanisme untuk mendapatkan bukti dan mengambil tindakan merentas sempadan,” katanya.

Beliau turut menyatakan akan membawa perkara itu kepada kerajaan supaya proses penggubalan akta mempunyai garis masa yang jelas serta mengambil kira cabaran penguatkuasaan yang dihadapi Singapura.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menegaskan desakan tersebut bukan serangan terhadap industri sawit.

Katanya, ratusan ribu pekebun kecil yang bekerja keras dan jujur mencari rezeki tidak sepatutnya menanggung akibat tindakan syarikat yang mengejar keuntungan segera sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kita mahu industri sawit terus dihormati. Jangan biarkan kerakusan segelintir syarikat mencemarkan nama seluruh industri.

“Konsesi anda. Kebakaran anda. Tanggungjawab anda.

“Untung boleh dicari semula. Paru-paru anak kita tidak boleh diganti,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat