KUALA LUMPUR – Hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sebanyak 713 kandungan media sosial jenis pemalsuan imej atau ‘deepfake’ melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh penyedia platform bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September lepas.
Kementerian Komunikasi menyatakan tindakan penurunan berkenaan dibuat hasil permohonan MCMC berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
“Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat,” katanya.
Kementerian Komunikasi menyatakan demikian dalam jawapan bertulis untuk soalan nombor 19 yang dipaparkan di laman web Parlimen.
Ia bagi menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamuddean (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake melibatkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Menurut kementerian itu, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk deepfake, scam (penipuan) dan pemalsuan identiti ditangani berdasarkan sifat dan elemen kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” katanya.


