KUALA LUMPUR – Susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 203 pada pukul 8 malam tadi, 335 buah institusi pendidikan di seluruh daerah Batu Pahat, Johor diarahkan untuk ditutup hari ini.
Daripada jumlah itu, ada 176 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), 105 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), sebuah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan 53 institusi pengajian Islam swasta.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat Kamalludin Jamal memaklumkan ini kerana kualiti dan bacaan IPU pada tahap ‘Sangat Tidak Sihat’.
“Selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), tindakan pengurusan jerebu di sekolah hendaklah dilaksanakan berdasarkan bacaan IPU dan arahan pihak berkuasa pendidikan.
“Pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) sekiranya diarahkan oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor atau Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.
“Ini tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya menurut kenyataan itu.
Pihak sekolah perlu memaklumkan kepada keluarga pelajar tentang kaedah pelaksanaan PDPR, tugasan murid dan saluran komunikasi melalui saluran interaksi rasmi sekolah, jelasnya.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Batu Pahat berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat bersama-sama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Sebarang keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah hendaklah berdasarkan perkembangan kualiti udara dan arahan rasmi pihak berkuasa,” katanya.
Orang awam ujarnya, diminta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Daerah Batu Pahat sentiasa terpelihara,” katanya.



