PU Riz lihat pendidikan sebagai jambatan satukan masyrakat, sokong usaha Kesuma

KUALA LUMPUR – Pertemuan dengan komuniti India di Madrasah India Kampung Pandan baru-baru ini membuka pengalaman baru buat pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, apabila berpeluang berinteraksi secara dekat dengan kelompok masyarakat yang berbeza daripada khalayak ceramahnya sebelum ini.

Menurut PU Riz, pengalaman tersebut memberi perspektif tersendiri apabila beliau buat pertama kali menyampaikan perkongsian ilmu kepada khalayak yang keseluruhannya terdiri daripada masyarakat India, sekali gus memperlihatkan bagaimana keinginan untuk mendapatkan ilmu dan memperbaiki kehidupan tidak mengenal batas kaum atau latar belakang.

“Biasa ‘crowd’ yang dengar ceramah saya orang Melayu. Tapi buat pertama kali yang semuanya, saya ulang, semuanya bangsa India,” katanya.

Lebih daripada sekadar pengalaman berhadapan dengan kelompok masyarakat berbeza, PU Riz berkata perkara yang menarik perhatiannya ialah kesungguhan komuniti berkenaan dalam mendapatkan ilmu serta usaha untuk memperkukuh pendidikan dan taraf kehidupan, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah atau B40.

Beliau melihat akses kepada pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sebagai antara perkara penting yang boleh membantu seseorang membina kehidupan lebih baik, terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan memerlukan sokongan untuk mengembangkan potensi diri.

Dalam konteks itu, PU Riz turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menurutnya memainkan peranan dalam membantu memperkasa masyarakat menerusi pelbagai bentuk inisiatif, termasuk sumbangan dan geran bagi menyokong program berkaitan kemasyarakatan, pendidikan, kemahiran serta peluang pekerjaan.

Katanya, usaha sedemikian perlu dilihat dalam ruang yang lebih luas kerana manfaatnya bukan hanya tertumpu kepada satu-satu komuniti, sebaliknya boleh membantu masyarakat daripada pelbagai latar belakang mengikut keperluan serta bentuk program yang dilaksanakan.

Malah, beliau turut mengambil contoh usaha sebelum ini apabila kementerian berkenaan menyalurkan geran kepada syarikat sama bagi melaksanakan program membabitkan ceramah serta peluang pekerjaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, yang disertai sekitar 60 hingga 70 peserta.

Bagi PU Riz, kesinambungan program seperti itu amat penting kerana pendidikan dan kemahiran bukan sekadar memberi pengetahuan, malah mampu menjadi asas kepada perubahan kehidupan seseorang apabila digabungkan dengan peluang yang bersesuaian.

Beliau berharap lebih banyak inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan peluang pekerjaan dapat diteruskan serta diperluaskan supaya golongan B40 dan masyarakat yang memerlukan sokongan tidak tercicir daripada arus pembangunan.

“Kita doakan semua, tidak kira bangsa, khususnya di negara ini memperoleh satu kekuatan ilmu yang tertinggi, insya-Allah,” katanya.

Pengalaman tersebut turut memperlihatkan bagaimana program berteraskan pendidikan dan pembangunan masyarakat mampu menjadi ruang pertemuan antara komuniti, selain membuka peluang kepada individu daripada latar belakang berbeza untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan aspirasi dalam usaha membina kehidupan yang lebih baik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat