KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari mempersenda surat peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan berkuat kuasa pada tarikh Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan dari penjara.
“Surat peletakan jawatan ini satu perkara yang serius yang melibatkan urusan rasmi kerajaan.
“Jika benar ia sudah dihantar, bagaimana anda menulis surat dengan tarikh kuat kuasa yang tiada kaitan secara langsung? Atau anda sudah tahu bila Datuk Seri Najib Razak akan balik ke rumah?
“Harap tiada yang menulis surat letak jawatan dengan tarikh kuat kuasa apabila bulan mengambang atau apabila Perdana Menteri bertukar,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Begini sahajalah kata Fadhli, daripada anda berdrama, cukup-cukuplah.
“Pegang sahaja jawatan itu sampai gugur semua Kabinet, kan mudah,” cadang beliau.
Sebelum ini, Anthony Loke berkata, beliau diminta oleh Perdana Menteri untuk mengekalkan jawatan tersebut untuk satu tempoh.
Namun ketika ditanya tentang tempoh masa untuk memegang jawatan tersebut, beliau berkat peletakan jawatan berlaku secara automatik sekiranya Najib dibebaskan.
“Tempoh masa itu ialah apabila Najib pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya.


