KUALA LUMPUR- Hari ini, seramai 1,476 individu telah memulakan fasa pertama program penghantaran pulang, berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Kerajaan Myanmar melalui Nota Diplomatik rasmi.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penghantaran dilaksanakan melalui laluan laut menggunakan dua buah kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar, dengan penyelarasan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.
“Selama berpuluh tahun, isu kehadiran pelarian asing di Malaysia, khususnya dari Myanmar yang merangkumi lebih 95 peratus daripada keseluruhan pelarian, telah berlarutan tanpa penyelesaian yang tuntas.
“Kepincangan masa lalu ini telah menjadi beban kewangan yang besar kepada negara, mencetuskan krisis sosial yang serius, serta mewujudkan ancaman keselamatan yang nyata kepada rakyat Malaysia.
“Kerajaan Madani melalui KDN kini mengambil langkahpenguatkuasaan tegas tanpa kompromi bagi menangani permasalahan tersebut secara berfasa,” katanya.
KDN menyatakan, sehingga 15 Ogos 2026, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.
Justeru jelasnya, daripada jumlah tersebut, 5,000 warga Myanmar telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, berasaskan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu yang terlibat untuk pulang secara sukarela.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Madani untuk menyelesaikan permasalahan legasi tersebut berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai Ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN, dengan memastikan tindakan dilaksanakan secara teratur,
bertanggungjawab dan berperikemanusiaan tanpa berkompromi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
“Melalui rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar, dan penguatkuasaan undang-undang, Kerajaan dapat memperkukuh pengurusan warga asing dan individu yang mendakwa sebagai pelarian berdasarkan identiti dan status yang telah dikenal pasti. Pendekatan ini membolehkan tindakan susulan dibuat secara lebih teratur berdasarkan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.
“Fasa-fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dengan Myanmar,” kata KDN.
Menurut KDN lagi, kejayaan pelaksanaan fasa pertama ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Madani untuk menyelesaikan permasalahan legasi yang telah berlarutan sekian lama secara tegas, tersusun dan berkesan.
“Langkah ini turut memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan serius dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik.
“Kerajaan Madani kekal komited untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam berasaskan tatakelola yang baik. Kedaulatan undang-undang dan negara akan terus dipelihara, manakala keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” kata KDN.



