KUALA LUMPUR – Tempoh rayuan untuk ibadat Haji bagi musim 1448H/2027 akan dibuka lebih awal iaitu pada 2 Oktober nanti, demikian menurut Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan hari ini.
Permohonan untuk membuat rayuan itu boleh dibuat menerusi aplikasi dan laman web THiJARI.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad, pembukaan rayuan lebih awal memberi ruang kepada bakal jemaah Haji membuat persediaan dari keperluan kewangan, kesihatan dan ilmu.
Langkah itu selari dengan konsep istito’ah (kemampuan) yang sedang diterapkan TH kepada masyarakat Islam di negara ini, katanya.
Bagi musim haji 1448H/2027M, jemaah haji yang terpilih melalui proses rayuan dikenakan kos haji penuh sebanyak RM33,300.
“TH sentiasa komited untuk berada di sisi dan membantu dalam setiap langkah para pendeposit merealisasi impian mereka menuju perjalanan teragung ini.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan TH termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan persediaan haji menyeluruh yang dikenali sebagai Seruan Istito’ah,” katanya menurut kenyataan itu.
Permohonan rayuan terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH masing-masing.
TH berkata, jumlah itu ditetapkan berdasarkan kadar Bayaran Haji terendah bagi kumpulan B40 sebagai rujukan untuk membuktikan pemohon memenuhi syarat minimum kemampuan kewangan menunaikan ibadah haji.
Bagi permohonan rayuan luar giliran pada tahun haji semasa, beberapa kriteria dan skor merit akan diambil kira dalam proses pertimbangan.
Antara kriterianya ialah tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan dalam akaun TH, simpanan berulang yang konsisten, kekerapan permohonan rayuan serta kekerapan menghadiri Kursus Asas Haji anjuran TH.
Seperti tahun sebelumnya, TH turut memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia serta pengiring jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji bagi musim 1448H/2027M.
Bagi rayuan mahram atau pengiring yang berjaya, kadar bayaran haji adalah mengikut kadar yang ditetapkan kepada penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi, berdasarkan kumpulan B40, M40 atau T20.
Dalam pada itu, TH mengingatkan bakal haji supaya membuat persediaan kesihatan kerana kelulusan permohonan tertakluk kepada keputusan ujian saringan kesihatan.
Bakal jemaah turut dinasihatkan mempersiapkan diri dengan ilmu ibadah haji secukupnya menerusi Kursus Asas Haji yang dianjurkan TH di lebih 200 masjid di seluruh negara bermula 25 September lalu.
Maklumat berkaitan proses permohonan rayuan, kategori rayuan dan status permohonan boleh disemak melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang THiJARI.


