Jika sahih Marhamah terlibat New Age Movement wajar letak jawatan, disingkir daripada jawatan Timbalan Menteri Agama – Aliakbar

KUALA LUMPUR -Pas Sabah menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, supaya meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan penglibatan atau sokongan beliau terhadap fahaman New Age Movement (NAM) yang bercanggah dengan akidah Islam.

Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan, isu yang mengaitkan beliau dengan fahaman berkenaan bukan perkara remeh, apatah lagi apabila ia melibatkan seorang pemimpin yang memegang amanah dalam portfolio hal ehwal agama.

Kata Adun Karambunai itu lagi, jawatan tersebut menuntut komitmen yang jelas dalam memelihara kesucian akidah serta keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan agama negara.

“Pas Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang dikemukakan berhubung isu ini. Namun, penelitian menyeluruh berasaskan bukti yang sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan kedudukan sebenar perkara ini dapat dipastikan.

“Sekiranya dakwaan tersebut terbukti, peletakan jawatan merupakan langkah yang wajar.

“Jika beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri hendaklah mengambil tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan pad Isnin.

Menurut Aliakbar, dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), pelbagai fahaman kerohanian mudah tersebar dengan berselindung di sebalik istilah pembangunan diri, motivasi dan pencarian ketenangan jiwa.

“Generasi muda Sabah khususnya perlu dilindungi daripada kekeliruan yang boleh menggugat pegangan akidah mereka.

“Pas Sabah menegaskan bahawa pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang telah diwartakan di negeri Sabah hendaklah terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam, merangkumi tiga teras utama iaitu akidah dan tauhid: Berdasarkan pegangan Imam Abu Hassan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi; Fikah dan syariah: Berdasarkan Mazhab Syafii, di samping meraikan Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali serta pandangan imam-imam muktabar yang lain dan Tasawuf: berteraskan manhaj yang berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali,” katanya.

Ujar Aliakbar, pegangan ini bukan sekadar warisan keilmuan, tetapi benteng yang memelihara kemurnian akidah dan membimbing kehidupan umat Islam.

Justeru katanya, Pas Sabah menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa agar memperkukuh pendidikan akidah serta membimbing generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Amanah dalam portfolio hal ehwal agama menuntut bukan sahaja keupayaan pentadbiran, tetapi juga keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan seseorang pemimpin dalam mempertahankan agama. Kepentingan jawatan dan pertimbangan politik tidak boleh mengatasi kepentingan akidah umat Islam.

“Pas Sabah tidak berhasrat menjadikan isu ini medan fitnah atau menghukum sesiapa berdasarkan persepsi. Namun, ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai tindakan yang jelas apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan. Penjelasan mesti diberikan, penelitian mesti diselesaikan dan tanggungjawab mesti dipikul.

“Kita tidak mahu generasi muda, khususnya di Sabah, terumbang-ambing dalam arus pelbagai fahaman yang mengelirukan. Mereka mesti dibekalkan dengan ilmu yang sahih dan kefahaman tauhid yang teguh, agar kemurnian akidah terus terpelihara dan agama sentiasa terbela,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat