KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
“Bagi pihak Kerajaan Madani dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah.
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah.
“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” ucap Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin.


