RAWANG, SELANGOR – Daripada sekadar singgah membeli minuman atau aiskrim, pelanggan MOMOYO di Rawang kini mempunyai lebih banyak pilihan apabila jenama minuman dan pencuci mulut itu memperkenalkan flagship store pertamanya di Malaysia yang turut menampilkan MOMOYO Bakehouse sebagai segmen baru.
Dibuka pada 25 September 2026 di Bandar Country Puteri, Rawang, cawangan berkenaan menjadi langkah baru MOMOYO dalam memperluaskan konsep perniagaannya di Malaysia. Jika kebanyakan outlet MOMOYO sebelum ini lebih tertumpu kepada minuman dan aiskrim, flagship store ini tampil dengan pendekatan berbeza menerusi gabungan minuman, aiskrim dan pilihan daripada bakery dalam satu lokasi.

Jurucakap MOMOYO Malaysia, Azim, berkata pembukaan flagship store tersebut memberi peluang kepada MOMOYO untuk memperkenalkan MOMOYO Bakehouse kepada pelanggan tempatan, selain melihat potensi kategori baru itu sebagai sebahagian daripada perkembangan jenama pada masa akan datang.
“Ini adalah first flagship store untuk MOMOYO yang mempunyai satu lagi segmen produk iaitu bakeri. Kalau dibandingkan dengan stor-stor lain, kita belum ada lagi bakeri seperti ini. Jadi, untuk flagship store ini kita mahu lihat bagaimana penerimaan pelanggan serta keterujaan mereka dengan adanya segmen baharu tersebut,” katanya.
Pemilihan Rawang sebagai lokasi flagship store pertama yang menampilkan MOMOYO Bakehouse turut mempunyai kaitan dengan perkembangan kawasan berkenaan yang dilihat masih mempunyai ruang untuk diterokai oleh jenama makanan dan minuman.
Menurut Azim, Rawang khususnya kawasan Bandar Country Puteri dilihat sebagai lokasi yang masih berkembang dan belum terlalu dipenuhi persaingan daripada jenama besar, sekali gus memberi peluang kepada MOMOYO untuk membina kehadiran lebih awal dalam pasaran setempat.
“Kalau kita tengok kawasan Rawang ini, boleh dikatakan masih fresh dan belum banyak pesaing besar masuk ke kawasan ini. Jadi, kita mahu masuk terlebih dahulu dan tengok bagaimana penerimaan pelanggan serta perkembangan kawasan ini,” jelasnya.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana MOMOYO bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertambahan jumlah outlet, malah turut meneroka format kedai dan kategori produk yang boleh memberikan pengalaman lebih pelbagai kepada pelanggan.
Flagship store Rawang menjadi lokasi pertama yang membawa gabungan MOMOYO, aiskrim dan bakeri, dengan prestasi dan sambutan pelanggan menjadi antara faktor yang akan dipertimbangkan MOMOYO dalam merancang perkembangan konsep berkenaan ke lokasi lain.
Dari segi menu, MOMOYO mempunyai tujuh siri produk utama dengan Fresh Fruit Tea dan Ice Cream Series antara produk yang menjadi tunjang kepada jenama tersebut. Namun, pelanggan di flagship store Rawang kini boleh menikmati pilihan yang lebih luas apabila lebih 20 jenis produk daripada MOMOYO Bakehouse turut disediakan.

Antara produk yang diketengahkan ialah Walnut Mario dan Mochi Attack, yang merupakan antara pilihan signature serta kegemaran pelanggan. Menariknya, produk bakeri tersebut bukan diperoleh daripada pembekal luar, sebaliknya dihasilkan secara in-house oleh pasukan MOMOYO Bakehouse sendiri.
Pilihan daripada MOMOYO Bakehouse pula ditawarkan pada julat harga sekitar RM2.50 hingga RM12.90, dengan Walnut Mario pada harga RM12.90 menjadi antara produk signature dengan harga tertinggi di premis berkenaan.
“Buat masa sekarang ada lebih daripada 20 menu bakeri dan jumlah itu masih boleh bertambah. Produk bakeri ini memang dibuat secara in-house oleh pasukan kami,” kata Azim.
Dengan kepelbagaian tersebut, pelanggan bukan sahaja mempunyai pilihan untuk mendapatkan minuman dan aiskrim, malah boleh menikmati beberapa jenis produk daripada MOMOYO Bakehouse dalam satu kunjungan, terutama ketika datang bersama keluarga atau rakan.
Dari perspektif perniagaan, pengenalan MOMOYO Bakehouse turut membuka ruang kepada MOMOYO untuk meningkatkan nilai pembelian pelanggan di setiap outlet.
Azim menganggarkan kehadiran segmen bakeri berpotensi memberikan peningkatan jualan sehingga sekitar 50 peratus berbanding outlet yang hanya menawarkan minuman dan aiskrim, walaupun prestasi sebenar masih bergantung kepada sambutan pelanggan dan corak pembelian di setiap lokasi.
“Kalau dibandingkan dengan outlet biasa, kita boleh anggarkan jualan itu berpotensi naik sehingga 50 peratus dengan adanya bakeri. Harga minuman ada yang sekitar RM3 atau RM5, tetapi untuk bakeri pelanggan mungkin tidak membeli satu sahaja. Mereka boleh ambil beberapa jenis, jadi dari situ ada potensi untuk meningkatkan nilai pembelian,” katanya.
Pendekatan ini secara tidak langsung memberikan MOMOYO satu lagi ruang untuk mengembangkan nilai perniagaan setiap outlet, selain terus memperkenalkan rangkaian produk yang lebih pelbagai kepada pelanggan.
Perkembangan MOMOYO Bakehouse ini hadir ketika MOMOYO sedang memperluaskan rangkaiannya di Malaysia. Jenama yang berasal dari Indonesia itu kini mempunyai kira-kira 1,700 cawangan di seluruh Asia Tenggara, manakala di Malaysia jumlah outlet yang beroperasi kini sekitar 167 cawangan.
MOMOYO menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 500 cawangan menjelang akhir 2027, dengan peluang francais menjadi antara saluran utama bagi memperluaskan rangkaian jenama itu di seluruh negara.
Selain kawasan yang sudah mempunyai kehadiran MOMOYO, jenama tersebut turut terbuka untuk berkembang ke negeri yang masih mempunyai ruang pasaran, termasuk Perlis, bergantung kepada minat dan kesediaan rakan kongsi tempatan.
Bagi mereka yang berminat menyertai rangkaian MOMOYO, pihak ibu pejabat menyediakan sokongan daripada peringkat awal sehingga outlet mula beroperasi.
Menurut Azim, rakan kongsi tidak semestinya perlu mempunyai pengalaman dalam industri makanan dan minuman kerana MOMOYO menyediakan bimbingan merangkumi pemilihan kawasan, pemilihan shoplot, latihan produk serta operasi kedai.

“Kalau rakan kongsi tidak mempunyai latar belakang F&B, HQ akan beri sokongan daripada awal, termasuk pemilihan kawasan, pemilihan shoplot dan latihan. Kita akan guide daripada awal sehingga mereka boleh mula beroperasi dan menjana pendapatan daripada stor tersebut,” katanya.
Dari segi konsep pula, MOMOYO menawarkan beberapa pilihan termasuk kiosk dan kedai, dengan kos permulaan bergantung kepada format serta skala outlet yang dipilih. Untuk flagship store Rawang, MOMOYO masih melihat perkembangan konsep berkenaan sebelum menentukan bentuk peluasan yang paling sesuai ke lokasi lain.
Dalam masa sama, aspek pensijilan halal turut menjadi sebahagian daripada fokus MOMOYO dalam mengembangkan rangkaiannya di Malaysia. Ketika ini, sekitar 10 outlet telah memperoleh sijil halal, manakala proses bagi outlet lain masih berjalan.
Bagi MOMOYO Bakehouse pula, proses mendapatkan pensijilan halal akan dimulakan selepas tempoh operasi yang ditetapkan, dengan MOMOYO menyasarkan permohonan tersebut selepas segmen bakeri beroperasi kira-kira tiga bulan.
Dengan pembukaan flagship store Rawang, MOMOYO kini mempunyai satu lagi platform untuk memperkenalkan gabungan minuman, aiskrim dan MOMOYO Bakehouse kepada pelanggan Malaysia. Perkembangan sambutan terhadap konsep tersebut akan menjadi antara pertimbangan penting dalam langkah MOMOYO seterusnya ketika jenama itu bergerak ke arah sasaran 500 cawangan menjelang 2027.



