SEREMBAN — Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin hari ini menyifatkan tindakan mengumumkan pemberhentian barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan sebagai “salah, tidak berperlembagaan dan tiada kuat kuasa”, sekali gus membawa pertikaian mengenai kuasa pemerintahan negeri ke tahap yang lebih tegang.
Dalam kenyataan media bersama setebal empat halaman, mereka mendakwa pengumuman yang dibuat atas arahan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir itu bertujuan mensabotaj keputusan kolektif Exco dan menghalang pihak yang mereka iktiraf sebagai Raja Pemerintah daripada menjalankan pemerintahan.
“Kejadian ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan dan amat memalukan Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai kedudukan Exco di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 hendaklah dibuat atas nasihat Menteri Besar dan/atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kenyataan tersebut turut menggesa Tunku Muhriz menerima keputusan penurunan takhta yang menurut Undang Yang Empat telah dibuat pada 19 April lalu.
“Kami juga menasihatkan Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir agar bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa beliau telah diturunkan takhta maka berundurlah secara terhormat,” menurut kenyataan itu lagi.
Undang Yang Empat berkata proklamasi berkenaan disempurnakan apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatanganinya pada 3 Ogos. Mereka menegaskan proklamasi itu telah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 tanpa memerlukan pewartaan.
Pada masa sama, mereka menolak dakwaan bahawa Ismail dan barisan Exco bertanggungjawab menurunkan Tunku Muhriz. Dakwaan sedemikian disifatkan sebagai “fitnah jahat”, kerana kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar, menurut mereka, terletak pada Undang Yang Empat di bawah Perkara 7, 10 dan 11 UUTKNS.
“Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu,” tegas mereka, sambil menyatakan kedua-duanya hanya melaksanakan tugas perlembagaan untuk mematuhi ketetapan Undang Yang Empat.
Kenyataan itu ditandatangani atas nama Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Abdul Rahim Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.
Perdana Menteri, Peguam Negara diberi amaran
Dalam teguran keras kepada Kerajaan Persekutuan, mereka mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, khususnya kuasa Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS.
“Janganlah bertindak lebih sudu daripada kuah dan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menggesa supaya agensi Kerajaan Persekutuan tidak melakukan tindakan yang didakwa boleh melumpuhkan pentadbiran eksekutif negeri. Menurut mereka, campur tangan sedemikian, jika diteruskan, akan menimbulkan persoalan berhubung sumpah jawatan Perdana Menteri, jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan serta prinsip federalisme.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin juga menegur parti politik pembangkang yang didakwa mengambil kesempatan daripada kemelut itu dan memutarbelitkan fakta mengenai adat serta institusi pemerintahan negeri.
“Tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana Raja,” kata mereka, sambil menegaskan bahawa kuasa tersebut, dalam konteks Negeri Sembilan, terletak pada Undang Yang Empat.
Seru penjawat awam taat kepada Tunku Nadzaruddin
Kenyataan itu seterusnya menyeru penjawat awam negeri agar mematuhi ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menumpahkan taat setia kepada Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, yang mereka iktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Mereka mendakwa pemakluman rasmi mengenai penurunan takhta Tunku Muhriz dan pemilihan Tunku Nadzaruddin telah dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada Majlis Raja-Raja. Atas dasar itu, mereka menegaskan hanya Tunku Nadzaruddin mempunyai kuasa untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Besar, termasuk menghadiri persidangan Majlis Raja-Raja.
Pentadbiran negeri juga digesa memberikan kepada Tunku Nadzaruddin segala keistimewaan yang diperuntukkan bagi jawatan tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
“Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah patuh dan taat dan tidak membuat sebarang tindakan derhaka,” menurut kenyataan itu.
Di akhir kenyataan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyeru rakyat supaya kekal tenang serta tidak terpengaruh dengan provokasi atau maklumat tidak sahih sepanjang proses peralihan kuasa yang menurut mereka sedang berjalan. Mereka turut menyatakan sokongan agar Ismail dan barisan Exco terus menjalankan tanggungjawab masing-masing.



