KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh meninggalkan Penjara Kajang dan mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah seawal bulan depan.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya Mahkamah Tinggi membenarkan Najib mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat pengampunan bersyaratnya dibayar.
Katanya, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 14 Oktober untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri itu bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kes 1MDB sementara menunggu rayuannya.
Ditanya berapa cepat Najib boleh pulang ke rumah untuk menjalani tahanan rumah sekiranya syarat-syarat yang diperlukan dipenuhi, Shafee berkata, ia bergantung kepada sama ada segala persiapan telah selesai.
“Sekiranya kita sudah bersedia, katakan pada 14 Oktober kita mendapat penangguhan hukuman dan kemudian, Insya-Allah RM50 juta itu dibayar, ada kemungkinan besar beliau boleh dibebaskan pada hari yang sama.
“Atau mungkin terdapat hujah di mahkamah mengenai sama ada kebebasan beliau berkuat kuasa pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri itu, memetik Utusan pada Jumaat.
Peguam kanan itu berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kes 1MDB susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.
Tambahnya, pasukan guaman sengaja tidak memohon penangguhan hukuman ketika Najib disabitkan dalam kes 1MDB sebelum ini kerana beliau ketika itu sudah menjalani hukuman bagi kes SRC International.
Bagaimanapun, Shafee berkata, pengampunan bersyarat itu telah mengubah keadaan kerana hukuman kes 1MDB boleh menjejaskan usaha Najib untuk menjalani tahanan rumah selepas hukuman penjara bagi kes SRC International.
“Jika hukuman SRC berakhir, hukuman 1MDB akan bermula. Sebab itulah kami memohon penangguhan, supaya penangguhan itu mempunyai kesan,” tambahnya.
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan Najib bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB sementara menunggu rayuannya.
Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB itu diperintahkan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.



