KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.
MCMC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, sedang meneliti aduan yang diterima dan telah mengemukakan kes berkaitan kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.
“MCMC ingin menjelaskan bahawa pengambilalihan akaun (account compromise) dan penyekatan akaun adalah dua perkara yang berbeza.
“Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp, dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform.
“Pengguna yang terjejas dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun.
“Pengguna juga hendaklah tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri TwoStep Verification, serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan,” ujar MCMC.
Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan meminta wang, maklumat peribadi atau kod pengesahan.
“Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta.
“MCMC akan terus memantau perkara ini dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna,” jelas suruhanjaya itu.


