KUALA LUMPUR – Pas dan Umno masih belum mencapai keputusan muktamad berhubung kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, dengan jawatankuasa kedua-dua parti masih membincangkan terma serta pendekatan bakal digunakan.
Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata perbincangan itu bertujuan mencari pendekatan sesuai, termasuk kemungkinan menggunakan model dilaksanakan di Negeri Sembilan pada skala lebih besar dengan mengambil kira keadaan di negeri lain.
“Sebab itu belum ada keputusan muktamad. Di Melaka, kita masih menunggu jawatankuasa untuk membincangkan perkara ini.
“Umno ada jawatankuasa mereka dan kita (Pas) ada jawatankuasa sendiri. Kedua-duanya sedang membincangkan terma serta pendekatan sesuai. Bagaimanapun, sokongan dan kerjasama tetap sama,” katanya memetik BH di Kota Bharu.
Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan perkara itu kepada jawatankuasa terbabit dan berharap keputusan dapat dicapai sebelum hari penamaan calon.
“Buat masa ini, nampaknya positif. Kita berharap keputusan dapat dicapai segera,” katanya.
Ditanya sama ada ahli Pas akan terus memberi sokongan kepada Umno seperti sebelum ini, Mohd Amar berkata, belum ada keputusan.
“Apabila parti membuat pengumuman nanti, barulah kita boleh menjelaskan pembahagian kerusi dan pendekatan akan diambil,” katanya.
Mengenai kerjasama Bersatu dengan Pakatan Harapan (PH), Mohd Amar berkata, Pas sudah menerima maklumat sebelum ini dan melihat tanda Bersatu akan kembali kepada PH.
“Dengan apa berlaku dalam PH, keadaan lebih jelas. Bagaimanapun, Bersatu masih belum membuat pengumuman rasmi,” katanya.
Mengenai implikasi membabitkan wakil rakyat Bersatu di Kelantan, Kedah dan Terengganu, Mohd Amar berkata, hubungan politik antara kedua-dua parti sudah berakhir.
“Bagi kedudukan wakil rakyat mereka di negeri terbabit, termasuk Kelantan, Kedah dan Terengganu, belum ada keputusan rasmi daripada kepemimpinan PAS Pusat mengenai pendekatan akan diambil.
“Pada pandangan saya, lebih baik kepemimpinan negeri masing-masing mengambil tindakan munasabah berdasarkan keadaan di lapangan,” katanya.
Mohd Amar berkata, perkara itu turut akan dibincangkan pada mesyuarat kepemimpinan Pas Pusat akan datang.



