RoS hanya beri notis sehari sebelum gantung PN – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September 2026 menimbulkan persoalan serius yang wajar dijawab secara terbuka.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru RoS supaya menjelaskan dengan terperinci asas dan justifikasi penggantungan ini kepada PN, memberi ruang yang sewajarnya untuk PN mengemukakan jawapan yang lengkap dan meneliti jawapan tersebut dengan segera serta tanpa prejudis.

Selain itu kata beliau, RoS juga wajar mempertimbangkan semula keperluan mengekalkan penggantungan dalam tempoh proses penjelasan masih berlangsung. Pelaksanaan kuasa pentadbiran yang teliti, saksama dan bebas daripada pengaruh politik adalah syarat mutlak untuk memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Penggantungan itu dibuat susulan aduan Bersatu, sebuah parti komponen PN sendiri. Yang menghairankan, pada 22 September, sehari sebelum penggantungan dikuatkuasakan, RoS telah mengeluarkan notis bagi memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan.

“Namun sebelum penjelasan itu sempat diteliti, kegiatan PN sudah pun digantung. Susunan peristiwa ini menimbulkan satu persoalan asas: apakah tujuan sebenar notis penjelasan diberikan jika keputusan menggantung sudah pun dilaksanakan?

“Saya tidak mempertikaikan hak dan tanggungjawab RoS untuk menyiasat aduan serta bertindak mengikut peruntukan undang-undang. Namun apabila ruang penjelasan masih dibuka kepada PN, sebarang keputusan menggantung seluruh kegiatannya sepatutnya berasaskan alasan yang jelas, teliti dan boleh dipertahankan. Keadilan prosedur bukan sekadar soal formaliti tetapi ia adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi.

“Penjelasan yang diterima kemudian tidak semestinya dapat memulihkan kerosakan yang berlaku sepanjang tempoh penggantungan.

“Yang lebih membimbangkan, keputusan ini berkuat kuasa tepat pada hari Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan. Menjelang pilihan raya, parti-parti memerlukan ruang dan masa yang cukup untuk menyusun calon, menyelaraskan jentera kempen dan menyampaikan maklumat kepada pengundi dalam tempoh yang sangat terhad.

“Penggantungan kegiatan PN pada saat yang kritikal ini bukan sekadar isu pentadbiran, ia berpotensi menjejaskan hak rakyat untuk mendapat pilihan yang jelas dan persaingan yang adil dalam proses demokrasi,” tegas Tuan Ibrahim.

Pada masa yang sama, beliau menyeru supaya parti-parti komponen PN perlu bersikap tenang dan strategik dalam menghadapi perkembangan ini.

Menurut Tuan Ibrahim, persiapan pilihan raya mesti diteruskan dengan mengambil kira pelbagai senario yang mungkin berlaku, termasuk soal penggunaan lambang dan penyelarasan kempen.

“Sebarang keputusan mengenainya hendaklah dibuat secara bersama, telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya agar pengundi tidak keliru dan hak mereka terpelihara.

“Pas akan menghadapi keadaan ini dengan tenang, matang dan menggunakan sepenuhnya saluran undang-undang yang tersedia.

“Kami percaya bahawa kebenaran dan keadilan akan tertegak melalui proses yang betul. Yang lebih penting, kami yakin bahawa rakyat Malaysia cukup bijak dan matang untuk menilai sendiri pendirian, rekod dan khidmat yang ditawarkan oleh parti-parti dalam PN walau apa pun perkembangan yang berlaku selepas ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat